Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
118) LAMPU SOLAR LED
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kaedah permohonan penggantian dan pemasangan lampu solar LED baharu di kawasan-kawasan perumahan, komersial, dan taman rekreasi?
Dalam memastikan projek/inisiatif pemasangan produk teknologi hijau
di Negeri Selangor dilaksanakan dengan berkesan, terdapat dua (2) kaedah sedia ada untuk memohon peruntukan penggantian dan pemasangan lampu solar LED baharu di kawasan-kawasan seperti perumahan, komersial, dan taman rekreasi. Kaedah tersebut adalah seperti berikut:- Permohonan melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau, UPEN
- Dana ini disediakan untuk Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Penduduk, Sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, Organisasi Keagamaan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Pertubuhan/Organisasi Alam Sekitar;
- Mengemukakan surat dan kertas cadangan projek termasuk kos projek kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) beserta dokumen-dokumen pendaftaran yang sah seperti sijil pendaftaran pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan laporan kewangan terkini;
- Had jumlah peruntukan yang dipohon adalah bergantung kepada jumlah peruntukan Jawatankuasa Tetap yang diluluskan setiap tahun;
- Exco berkaitan akan mempertimbangkan dan meluluskan permohonan berdasarkan kepada syor UPEN;
- Peruntukan yang diluluskan akan disalurkan secara direct grant kepada organisasi/pertubuhan dan memastikan peruntukan tersebut digunakan pada tahun yang dipohon. Organisasi/Pertubuhan bertanggungjawab untuk mengemukakan laporan pelaksanaan kepada UPEN untuk semakan dan lawatan tapak.
- Lain-lain Peruntukan Seperti MARRIS dan PBT
- Menerusi peruntukan ini, penggantian lampu solar LED hanya boleh dilaksanakan bagi penggantian baharu di tapak sedia ada dan disahkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR);
- Agensi Pelaksana seperti PBT perlu mengemukakan permohonan penggantian lampu solar LED sedia ada mengikut tatacara yang ditetapkan dalam Garis Panduan Tatacara Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri;
- Agensi Pelaksana perlu mengemukakan permohonan peruntukan berdasarkan panjang jalan yang telah disahkan dan mengemukakan perancangan penyenggaraan tidak lewat dari 31 Januari tahun kewangan yang akan dilaksanakan penyenggaraan;
- Semua permohonan yang diterima hendaklah dibawa untuk pertimbangan dan semakan menyeluruh oleh Jawatankuasa Kumpulan Wang;
- Agensi Pelaksana perlu memohon secara dalam talian mengikut kriteria dan spesifikasi yang ditetapkan dan memastikan jalan-jalan tersebut didaftarkan di dalam Sistem MARRIS Online yang disahkan oleh JKR; dan
- Anggaran peruntukan yang diluluskan hendaklah dimaklumkan kepada Agensi Pelaksana dan boleh diagihkan secara sekali gus atau berdasarkan prestasi perbelanjaan sebenar Agensi Pelaksana;