Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

304) LALUAN LEBUHRAYA PANTAI BARAT (WCE)

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah pembinaan WCE daripada persimpangan Ijok - Bukit Rotan ke Batu 9, Tg. Karang akan dimulakan?

    Jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) ini merentasi dua (2) buah negeri iaitu Negeri Selangor dan Negeri Perak sejauh 316 km di bina di sepanjang persisiran pantai barat untuk kemudahan penduduk setempat dan juga pengguna lebuhraya ke utara. Panjang jajaran Lebuhraya WCE yang dilaksanakan secara penswastaan oleh West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCESB) adalah sepanjang 233 km manakala jajaran sepanjang 83km untuk menaiktaraf jalan sedia ada (FR5) dilaksanakan menggunakan peruntukan Kerajaan.

     

    Jajaran Seksyen 7, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat bermula dari Persimpangan Bertingkat Assam Jawa (Lebuh Raya LATAR) sehingga Persimpangan Bertingkat Tanjung Karang (Kg. Bagan Tengkorak, Jalan Persekutuan 5(FR5))  dengan jarak keseluruhan 29.5km. Jajaran Seksyen 7 ini terbahagi kepada dua (2) bahagian iaitu Bahagian 1 (Seksyen 7A) bermula dari Persimpangan Assam Jawa sehingga ke Ladang Sg. Terap sepanjang 19.5km, manakala Bahagian 2 (Seksyen 7B) dari Ladang Sg. Terap ke Persimpangan Bertingkat Tanjung Karang dengan jarak 10km. Keseluruhan Seksyen 7 ini, apabila siap kelak, akan menjadi jalan pintas (by pass) tanpa melalui kesesakan di Bandar Tanjung Karang dan Bandar Kuala Selangor, secara langsung akan memendekkan tempoh perjalanan bagi pengguna.

     

    Kerja-kerja pembinaan jajaran Seksyen 7A telah dimulakan pada 2 Julai 2018 dan kemajuan pembinaan semasa sehingga 25hb Jun 2022 adalah 76.60%. Manakala kerja-kerja pembinaan bagi Seksyen 7B telah dimulakan pada penghujung Mac 2022 dan kemajuan pembinaan semasa bagi Seksyen 7B sehingga 25hb Jun 2022 adalah 15.03%. Berdasarkan perancangan, penyiapan bagi keseluruhan jajaran Seksyen 7 ini dijangka pada Mac 2025.

  2. Apakah masalah kelewatan melaksanakan laluan pakej tersebut?

    Kelewatan memulakan pembinaan bagi Seksyen 7B adalah disebabkan oleh isu penentuan jajaran yang dimuktamadkan pada Ogos 2018.

Lampiran

Tiada Lampiran.