Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

94) KUTIPAN ZAKAT DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kutipan zakat di Negeri Selangor adalah yang tertinggi sepanjang lima tahun berturutturut. Bagaimana usaha Kerajaan Negeri untuk menambah baik sistem pengagihan zakat untuk membasmi kemiskinan termasuk pendidikan.

    Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melakukan transformasi ke atas operasi zakat yang melibatkan aspek agihan. Dua asnaf utama iaitu fakir dan miskin telah diberikan peluang seluas-luasnya untuk merubah keadaan diri mereka. Menerusi mekanisme program pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan penjanaan modal insan, maka para asnaf fakir dan miskin ini telah dibekalkan ‘modal’ yang cukup untuk mentransformasikan diri mereka sendiri dengan lebih efektif.

    Di bawah Program Pembangunan Sosial, keperluan asasi mereka dicukupkan. Ia meliputi pembinaan, membaik pulih dan pembiayaan awal rumah. Makanan bulanan diberi di samping wang saraan bulanan.

    Menerusi Program Pembangunan Pendidikan pula, anak-anak asnaf diberikan kemudahan meluas demi memastikan mereka mampu mencipta kecemerlangan yang konsisten. Aspek pendidikan diberikan keutamaan, kerana ia menjadi aset kekal kepada asnaf. Mereka dibiayai dari tahap pra-sekolah sehingga ke universiti, di dalam dan luar negara.

    Penjanaan dana pendidikan itu pula, meliputi aspek seperti penyediaan yuran, wang saku, kelas tambahan, penyediaan peralatan persekolahan sehinggalah kepada mengikuti pelbagai kursus motivasi dan pembelajaran. Ia bermula, seawal dari tahap pra sekolah sehinggalah ke universiti, di dalam dan luar negeri.

    Bagi Program Pembangunan Insan, asnaf zakat didedahkan kepada pelbagai kursus seperti kemahiran keibubapaan dan juga kekeluargaan. Ia menjadi pemangkin untuk menggembur modal insan mereka dan memugar kembali semangat yang pudar, agar mampu menjadi ibu bapa yang berpotensi memajukan keluarga. Mereka juga dilibatkan dalam kursus memperelokkan ibadah dan solat.

    Begitu juga dalam aspek Penjanaan Ekonomi Asnaf, institusi zakat cuba sedaya mungkin menyediakan dana yang optimum. Mereka yang mempunyai kebolehan, bakat dan potensi akan digilap. Modal diberi dan perniagaan akan dipantau rapi, demi membolehkan para asnaf fakir dan miskin ini memula dan menjalankan perniagaan dengan yakin. Kini, sudah ramai mampu berdikari dan menjadi pembayar zakat pula.

    BANTUAN PENDIDIKAN

    Bagi memastikan asnaf zakat mempunyai ruang untuk bebas daripada belenggu kemiskinan, LZS menekankan bantuan pembangunan pendidikan dalam pengagihannya. LZS mensasarkan perubahan wajar bemula daripada generasi ke dua iaitu anak-anak asnaf agar mereka dapat dibentuk menjadi generasi yang cemerlang dan mampu pula membebaskan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

    LZS mengagihkan puluhan juta ringgit demi memperkasakan asnaf menerusi Program Pembangunan Pendidikan ini. Pada tahun 2009, sebanyak RM65 juta disalurkan dan ia meningkat 37.9 peratus menjadi RM89.6 juta pada 2010. Manakala, bagi bantuan pendidikan khusus kepada anak-anak asnaf fakir miskin pula ialah sebanyak RM23 juta disalurkan pada tahun 2009 dan meningkat kepada RM25.6 juta pada tahun 2010.

    Antara bantuan yang disediakan ialah bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan bermula dari pra sekolah hingga ke peringkat Pusat Pengajian Tinggi. Selain itu diperingkat pengajian tinggi anak-anak ini turut menerima bantuan wang saku, kelengkapan belajar dan biasiswa.

    LZS juga merupakan institusi zakat pertama di Malaysia yang menyediakan asrama khas bagi anak-anak asnaf, demi membolehkan mereka mengecapi kualiti pendidikan yang jauh lebih baik. Sehingga kini, tiga buah asrama yang dikenali sebagai Asrama Baitul Hasanah didirikan iaitu di Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor dan di Klang.

    LZS juga merangka beberapa inovasi agar bantuan pendidikan yang disediakan ini benar-benar memberikan kesan. Antaranya, LZS membuka ruang penajaan pendidikan kepada asnaf zakat meliputi pelbagai bidang pendidikan iaitu tidak hanya terbatas kepada pendidikan agama , Syariah dan Usuluddin sahaja. LZS menawarkan dermasiswa pelajar ke luar Negara. Antaranya ke Jordan, Mesir dan Morocco dalam multi bidang seperti Bahasa Arab, Pengajian Islam dan Perubatan.

    Manakala bagi penajaan dalam negara pula, anak-anak asnaf boleh memilih untuk menyambung ke mana-mana universiti atau kolej awam serta beberapa institusi pendidikan swasta terpilih demi menyambung pengajian dalam pelbagai bidang, seperti sains kesihatan, farmasi, teknologi maklumat, kejuruteraan dan kemahiran vokasional.

    Selain itu, LZS turut memberikan penekanan kepada bidang pendidikan agama dengan menyalurkan bantuan kepada sekolah-sekolah agama JAIS di seluruh Selangor. Pada tahun 2010 sahaja, lebih RM31.7 jutadiperuntukkan bagi menyediakan prasarana pendidikan agama terbaik dan juga sebanyak lebih RM14.2 juta pula diperuntukan bagi tujuan penajaan pelajar agama di dalam dan luar negara.

    Berikut adalah jadual tentang agihan zakat bagi pendidikan agama di Selangor tahun 2010

    Bil Nama bantuan Jumlah (RM)
    1 Skim pinjaman buku teks sekolah rendah agama 4,054,421.00
    2 Bayaran kepada guru-guru KAFA Selangor 26,000,000.00
    3 Pembinaan baru Pra-Sekolah JAIS Kuala Selangor 464,268.48
    4 Pembinaan tiga buah kelas di SRA Bt. Arang, Gombak 336,633.00
    5 Pembinaan surau SRA Kg. Jawa Klang 296,418.50
    6 Pembinaan kantin SRA Kg. Medan, Kuala Langat 331,480.00
    7 Pembinaan kantin dan tandas Pra-Sekolah JAIS Kg. Tok Muda, Klang 236,119.36
      JUMLAH 31,719,339.00

    Jadual berikut pula adalah agihan zakat bagi dermasiswa pelajar

    Selangor tahun 2010

    Bil Nama bantuan Jumlah (RM)
    1 Biasiswa galakan pelajar tahfiz 815,400.00
    2 Dermasiswa galakan Penilaian Sekolah Rendah Agama, Sijil Menengah Agama dan Sijil Tinggi Agama Malaysia 901,020.00
    3 Dermasiswa pelajar luar Negara (Mesir, Jordan dan Morocco) 12,500,000.00
    4 Dermasiswa pelajar cemerlang 19,000.00
      JUMLAH 14,235,420.00

    Kesimpulannya, pembangunan pendidikan adalah aset untuk melakar kecemerlangan asnaf zakat. Mudah-mudahan dengan usaha pengagihan zakat melalui penekanan aspek pendidikan ini, lebih ramai keluarga asnaf dapat berunah dan bebas daripada kemiskinan.

Lampiran

Tiada Lampiran.