Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

295) KUTIPAN HASIL CUKAI

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah terkini hasil kutipan hasil cukai Selangor mengikut daerah sepanjang tahun 2020?

    Hasil Cukai adalah terdiri daripada hasil Cukai Tanah, Cukai Parit Taliair, Caruman Parit, Cukai Hasil Hutan dan Cukai Hiburan. Hasil Cukai yang dikutip mengikut daerah oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Pejabat Daerah/Tanah (PDT) adalah Hasil Cukai Tanah dan Cukai Parit dan Taliair sahaja. Manakala hasil cukai yang lain adalah dikutip oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Perbendaharaan Negeri Selangor. Untuk makluman, jumlah kutipan Hasil Cukai sehingga 30 Jun 2020 adalah sebanyak RM416.68 juta.

    Jumlah kutipan hasil cukai tanah dan cukai parit taliair Negeri Selangor mengikut daerah sehingga 30 Jun 2020 adalah seperti berikut :

    Prestasi Kutipan Hasil Cukai Tanah dan Cukai Parit Taliair                                sehingga 30 Jun 2020

    BIL PDT / PTGS KUTIPAN SEHINGGA 30 JUN  2020 (RM JUTA)
    1. PDT Petaling 54.80
    2. PDT Gombak 39.22
    3. PDT Klang 58.85
    4. PDT Kuala Langat 7.89
    5. PDT Hulu Langat 25.51
    6. PDT Sepang 10.31
    7. PDT Kuala Selangor 6.79
    8. PDT Hulu Selangor 7.80
    9. PDT Sabak Bernam 1.47
    JUMLAH KUTIPAN DI PDT 212.64
    10. Pejabat Tanah dan Galian Selangor 169.06
    JUMLAH KESELURUHAN 381.70

         (Sumber : Penyata Laporan Hasil iSPEKS pada 30 Jun 2020)

  2. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan jumlah kutipan hasil cukai meningkat terutamanya di kawasan luar bandar?

    Saya ingin menjawab soalan YB Sungai Burong [Soalan 255(b)] bersekali dengan soalan YB Semenyih [Soalan 295(b)] yang bertanyakan soalan yang sama berkaitan langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil.

    Di antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan hasil dapat dikutip dan seterusnya ditingkatkan adalah:

    Bagi Hasil Cukai Tanah:

    1. Kerajaan Negeri melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 1 yang diumumkan pada 20 Mac 2020 telah melanjutkan tempoh akhir bayaran cukai tanah/petak dari 31 Mei kepada 30 Jun 2020 dan dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 2 telah melanjutkan sekali lagi tempoh akhir bayaran cukai tanah/petak dari 30 Jun kepada 31 Julai 2020;
    2. Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta kesemua Pejabat Daerah/Tanah berusaha untuk mengatasi kehilangan hasil cukai tanah dan akan melaksanakan lebih banyak program kutipan turun padang di kawasan-kawasan yang dikenalpasti iaitu kawasan perumahan dan tempat-tempat tumpuan awam seperti pasar pagi, pasar malam dan juga kompleks membeli belah bagi memudahkan orang ramai untuk membayar cukai tanpa perlu hadir ke mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah;
    3. Selain itu, usaha meningkatkan kesedaran mengenai pembayaran cukai tanah juga dilaksanakan melalui hebahan flyers dan surat khabar; dan
    4. Pejabat Daerah dan Tanah di luar bandar seperti Kuala Langat melaksanakan kempen promosi pembayaran cukai dalam usaha menggalakkan pembayar cukai untuk membayar sambil berpeluang mendapatkan hadiah melalui cabutan bertuah.

     

    Bagi Hasil Premium Tanah, Kerajaan Negeri memberi kemudahan kepada pemaju atau individu bagi membayar premium tanah secara berperingkat tanpa menjejaskan hasrat pemajuan tanah. Inisiatif kemudahan pembayaran premium yang diberikan adalah:

    1. melanjutkan tempoh pembayaran premium Notis Borang 5A dan premium tambahan Notis Borang 7G sehingga 30 September 2020 bagi notis-notis yang akan tamat dan telah tamat tempoh bayaran dari 1 Januari 2020 sehingga 31 Ogos 2020; dan
    2. Pembayaran premium tanah secara ansuran selama 6 bulan sehingga 31 Mac 2021 kepada Notis Borang 5A dan Notis Borang 7G yang belum tamat tempoh dalam Fasa 6 PKPP (10 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020).

     

    Bagi memastikan Hasil Cukai Hutan dapat dikutip:

    1. Kerajaan Negeri mengenakan caj fi bagi pengeluaran kayu getah dan palma (kelapa/kelapa sawit) di dalam tanah diberimilik dan tanah Kerajaan sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) dan selaras dengan keputusan Majlis Perhutanan Negara Ke-71; dan
    2. cadangan pemulihan dan penguatkuasaan melalui pengenaan permit penggunaan di kawasan pencerobohan dan penerokaan secara haram di dalam sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Selatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.