Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
255) KUTIPAN HASIL
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh mana hasil negeri Selangor terjejas akibat wabak Covid-19?
Saya ingin menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Bandar Utama [Soalan 152(a)], YB Sungai Burong [Soalan 255(a)], YB Bukit Gasing [Soalan 262(a)] dan YB Semenyih [Soalan 290(a)] yang bertanyakan soalan berkaitan kesan wabak Covid-19 terhadap kutipan hasil Kerajaan Negeri.
Tidak dinafikan, Pandemik Covid19 akan memberi kesan kepada Kedudukan dan Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri pada tahun ini. Namun begitu, amalan perbelanjaan berhemah Kerajaan Negeri serta usaha mendapatkan hasil yang berterusan berupaya menangani kesan ini tanpa mengabaikan peranan Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat Selangor yang menghadapi kesukaran dalam menghadapi situasi yang mencabar ini.
Status pendapatan Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun 2020 secara keseluruhannya adalah sebanyak RM1,527.61 juta atau 69.44 peratus daripada anggaran hasil RM2.2 bilion. Daripada hasil keseluruhan ini, kutipan Hasil Cukai adalah sebanyak RM416.67 juta atau 60.08 peratus. Kutipan Hasil Bukan Cukai adalah sebanyak RM897.35 juta atau 70.71 peratus. Manakala, Terimaan Bukan Hasil adalah sebanyak RM213.58 juta atau 90.01 peratus.
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk mengatasi kehilangan hasil negeri tersebut?
Saya ingin menjawab soalan YB Sungai Burong [Soalan 255(b)] bersekali dengan soalan YB Semenyih [Soalan 295(b)] yang bertanyakan soalan yang sama berkaitan langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil.
Di antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan hasil dapat dikutip dan seterusnya ditingkatkan adalah:
- Bagi Hasil Cukai Tanah:
- Kerajaan Negeri melalui Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 1 yang diumumkan pada 20 Mac 2020 telah melanjutkan tempoh akhir bayaran cukai tanah/petak dari 31 Mei kepada 30 Jun 2020 dan dalam Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa 2 telah melanjutkan sekali lagi tempoh akhir bayaran cukai tanah/petak dari 30 Jun kepada 31 Julai 2020;
- Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor serta kesemua Pejabat Daerah/Tanah berusaha untuk mengatasi kehilangan hasil cukai tanah dan akan melaksanakan lebih banyak program kutipan turun padang di kawasan-kawasan yang dikenalpasti iaitu kawasan perumahan dan tempat-tempat tumpuan awam seperti pasar pagi, pasar malam dan juga kompleks membeli belah bagi memudahkan orang ramai untuk membayar cukai tanpa perlu hadir ke mana-mana Pejabat Daerah dan Tanah;
- Selain itu, usaha meningkatkan kesedaran mengenai pembayaran cukai tanah juga dilaksanakan melalui hebahan flyers dan surat khabar; dan
- Pejabat Daerah dan Tanah di luar bandar seperti Kuala Langat melaksanakan kempen promosi pembayaran cukai dalam usaha menggalakkan pembayar cukai untuk membayar sambil berpeluang mendapatkan hadiah melalui cabutan bertuah.
- Bagi Hasil Premium Tanah, Kerajaan Negeri memberi kemudahan kepada pemaju atau individu bagi membayar premium tanah secara berperingkat tanpa menjejaskan hasrat pemajuan tanah. Inisiatif kemudahan pembayaran premium yang diberikan adalah:
- melanjutkan tempoh pembayaran premium Notis Borang 5A dan premium tambahan Notis Borang 7G sehingga 30 September 2020 bagi notis-notis yang akan tamat dan telah tamat tempoh bayaran dari 1 Januari 2020 sehingga 31 Ogos 2020; dan
- Pembayaran premium tanah secara ansuran selama 6 bulan sehingga 31 Mac 2021 kepada Notis Borang 5A dan Notis Borang 7G yang belum tamat tempoh dalam Fasa 6 PKPP (10 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020).
- Bagi memastikan Hasil Cukai Hutan dapat dikutip:
- Kerajaan Negeri mengenakan caj fi bagi pengeluaran kayu getah dan palma (kelapa/kelapa sawit) di dalam tanah diberimilik dan tanah Kerajaan sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) dan selaras dengan keputusan Majlis Perhutanan Negara Ke-71; dan
- cadangan pemulihan dan penguatkuasaan melalui pengenaan permit penggunaan di kawasan pencerobohan dan penerokaan secara haram di dalam sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Selatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri.