Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

18) KURSUS PENDIDIKAN PASANGAN SUAMI ISTERI

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Noor Hanim Binti Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan mengkhususkan kursus kepimpinan dalam rumah tangga, memandangkan penceraian yang tinggi berlaku di Selangor?

    JAIS melaksanakan kursus pasca perkahwinan untuk pasangan suami isteri. JAKIM juga dalam proses melancarkan Modul Pasca Perkahwinan untuk kegunaan seluruh JAIN.

  2. Adakah kerajaan bercadang mengadakan kursus psikologi untuk ibu bapa dalam mendidik anak-anak sewaktu menghadapi zaman media Elektronik?

    Pada dasarnya, Pentadbiran Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa siri kursus melibatkan golongan sasar ibu bapa dan anak-anak melalui penganjuran kursus-kursus S.P.I.E.S. dan program-program psikologi yang diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (BPSM) amnya dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor khasnya.

    Program S.P.I.E.S. Keluarga yang dijalankan meliputi modul ‘parenting skill’ yang menitikberatkan kemahiran komunikasi antara ibu bapa dan anak, kaunseling keluarga yang menumpukan kepada kaedah menyelesaikan masalah dalam rumahtangga, mendalami psikologi remaja yang bertujuan memahami perubahan emosi dan biologi remaja dan sebagainya.

    Pada tahun 2013, sejumlah 39 program S.P.I.E.S. Keluarga yang telah dijalankan melibatkan golongan sasar ini. Manakala pada tahun 2014 ini (maklumat yang dikemas kini sehingga 4 Jun 2014), Pentadbiran Kerajaan Negeri telah menganjurkan 7 program dan sejumlah 30 program yang masih dalam perancangan dan akan dilaksanakan sehingga penghujung tahun ini.

    Selain itu, Pentadbiran Kerajaan Negeri juga menawarkan perkhidmatan kaunseling dan psikologi secara percuma kepada orang awam melalui Pusat Kaunseling Selangor (PKS) atau lebih dikenali sebelum ini sebagai ‘Talian Sahabat’. PKS ini diuruskan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan mendapat kerjasama daripada 25 orang kaunselor sukarela yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia. Buat masa ini, PKS ini sedang beroperasi di Kompleks PKNS, Shah Alam, Pusat Khidmat GEMS Flat Sri Perantau Pelabuhan Klang dan Desa Mentari Petaling Jaya.

    Melalui pengoperasian PKS ini, beberapa program usahasama dengan Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dapat dilaksanakan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti untuk diberikan bantuan kaunseling, psikologi atau khidmat nasihat secara percuma.

Lampiran

Tiada Lampiran.