Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
164) KURSUS
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri akan menawarkan kursus kepada wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung atau ketua komuniti?
Ya, Kerajaan Negeri Selangor akan menawarkan kursus kepada wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung serta ketua komuniti.
-
Apakah program/ kursus yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri untuk perkara 10 (a) tersebut berserta jadual pelaksanaan?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian yang tinggi serta memberikan usaha yang terbaik dari segi pembinaan modal insan melalui latihan. Ini telah dibuktikan, bahawa bermula tahun 2008 sehingga 2013, seramai 636 orang Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor telah hadir dengan jayanya Kursus Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor yang telah dijalankan oleh Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (SPBT UPEN) dan dibantu oleh Pusat Latihan Awam Selangor (PLAS), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Morib. Kursus ini memberi pendedahan serta ilmu berkenaan asas perundangan dan pentadbiran serta pengurusan kewangan PBT. Bagi sesi lantikan baru Ahli Majlis PBT Selangor bermula tahun 2014, SPBT UPEN bersama PLAS sedang merangka dan akan melaksanakan kursus tersebut pada suku ketiga tahun 2014.
Kursus kepada Yang Berhormat ADN Selangor juga akan dilaksanakan selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkatkan tadbir urus dan integriti serta perkhidmatan kepada rakyat. Kursus Asas Perundangan Tanah, Kursus Pengurusan & Perundangan Pihak Berkuasa Tempatan, Kursus Pentadbiran / Kewangan Kerajaan, dan Kursus Protokol & Etiket adalah di antara perkara yang dicadangkan untuk dianjurkan pada tahun 2014 ini dan akan dilaksanakan oleh Pejabat Dewan Negeri Selangor bersama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Ketua Kampung dan Ketua Komuniti adalah merupakan barisan hadapan dan pemimpin di peringkat tempatan yang memainkan peranan penting bagi bersama – sama Kerajaan Negeri Selangor untuk memajukan Negeri Selangor dari segi pembangunan minda rakyat dan pembangunan fizikal kelas pertama. Oleh yang demikian, Kursus Asas Pengurusan Dan Pentadbiran Serta Kewangan Organisasi, Kursus Pengucapan Awam, Kursus Penganjuran Majlis Rasmi, Kursus Protokol dan Etiket adalah dicadangkan untuk diadakan bagi kumpulan ini dan akan diselaraskan oleh Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Selangor. Bagi mencapai sasaran tersebut juga, Bahagian Pembangunan
Pejabat Daerah Negeri Selangor, telah melaksanakan kursus – kursus kepada Ketua Kampung dan Ketua Komuniti sejak tahun 2008 lagi seperti Kursus Team
Building, dan Kursus Asas Pengurusan Organisasi bagi mencapai hasrat Kerajaan Negeri Selangor ke arah Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan.