Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

11) KUPON AIR DI PANGSAPURI KOS RENDAH

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Meminta kerajaan memberi penerangan tentang pelaksanaan kupon air untuk pangsapuri kos rendah Sri Tanjung di USJ16?

    Mekanisme pelaksanaan pemberian kupon air bagi Pangsapuri Sri Tanjung adalah seperti berikut:

    • Badan Pengurusan Bersama (JMB) membuat bacaan bil meter air mengikut kegunaan setiap petak (rumah) bagi bulan semasa.
    • JMB mengeluarkan bil air dan kupon kepada semua rumah. Tuntutan rebet kupon adalah berdasarkan penggunaan air sebenar bagi setiap rumah pada had maksimum RM11.40.
    • Pembeli akan mengemukakan kupon beserta bayaran baki bil air bulan semasa (sekiranya bil air melebihi RM11.40) kepada JMB selewat-lewatnya pada 20 haribulan bagi bulan semasa.
    • JMB mengemukakan kupon-kupon air yang dituntut pembeli beserta bayaran baki bil air meter pukal setelah ditolak jumlah tuntutan bil air yang mendapat rebet kupon.
    • SYABAS membuat tuntutan rebet kupon kepada Kerajaan Negeri.

     

  2. Meminta penerangan bagaimana RM24.5 juta yang diperuntukkan setahun dibawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) membabitkan 620 pemaju pangsapuri kos rendah di negeri ini dapat dilaksanakan.

    Setelah projek perintis program pemberian kupon air percuma kepada pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter air pukal dilaksanakan di Pangsapuri Sri Tanjung bermula bagi bil air bulan Jun 2010 berjaya, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti sejumlah 69 skim pangsapuri kos rendah melibatkan 23,093 pembeli bagi pelaksanaan fasa pertama pemberian air percuma ini. Skim pangsapuri kos rendah yang dipilih adalah berdasarkan keutamaan kepada pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang mempunyai Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang aktif atau berpotensi. Kriteria ini ditetapkan kerana Kerajaan Negeri telah mempertanggungjawabkan JMB/MC untuk menguruskan pengedaran dan pengutipan kupon kepada pembeli-pembeli.   Oleh itu, dengan adanya JMB/MC yang aktif dipercayai dapat membantu Kerajaan Negeri dalam memastikan program pemberian air percuma melalui sistem kupon dapat dilaksanakan dengan teratur.

    Fasa pertama program pemberian air percuma pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter air pukal akan dilaksanakan bagi bil air bulan Oktober 2010.

    Seterusnya, Kerajaan Negeri sedang mempergiatkan usaha untuk mengumpulkan maklumat skim pangsapuri-pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter air pukal bagi pelaksanaan fasa kedua pemberian air percuma bagi tahun hadapan.  Oleh demikian, satu kempen pendaftaran terbuka akan dibuat  di semua kaunter-kaunter pejabat unit Pesuruhjaya Bangunan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan.   Melalui kempen pendaftaran terbuka tersebut, semua pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau mana-mana pihak yang sah yang mewakili skim kawasan pemajuan pangsapuri terbabit boleh membuat pendaftaran bagi menyertai program pemberian air percuma ini.

    Kerajaan Negeri juga telah mewajibkan semua kawasan pemajuan strata untuk membuat migrasi meter air pukal kepada migrasi meter air individu supaya pemberian air percuma dapat dilaksanakan secara automatik.   Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pesuruhjaya Bangunan di semua kawasan pihak berkuasa tempatan negeri Selangor dan SYABAS telah menganjurkan program turun padang ke kawasan-kawasan pemajuan strata yang masih menggunakan meter air pukal untuk memberi taklimat mengenai pelaksanaan program migrasi tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.