Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

19) KUOTA BUMIPUTERA PERUMAHAN DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah perumahan di bawah kuota bumiputera yang masih belum dapat dijual? Sila senaraikan mengikut DUN.

    Untuk makluman Yang Berhormat, pada masa ini, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) tidak mempunyai data yang komprehensif mengenai jumlah perumahan di bawah kuota Bumiputera yang masih belum dijual. Namun begitu, Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya menubuhkan satu Task Force yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor bagi menyelaraskan data hartanah harga bebas yang tidak terjual (overhang units) mengikut jenis, harga jualan serta kuota Bumiputera di Negeri Selangor.

  2. Adakah Kerajaan Negeri membenarkan pertukaran kuota pemilikan bumiputera sekiranya terdapat rumah di bawah kuota bumiputera yang masih tidak terjual? Jika ya, apakah prosesnya?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri tidak menghalang pertukaran kuota pemilikan Bumiputera kepada bukan Bumiputera sekiranya terdapat rumah di bawah kuota Bumiputera yang masih tak terjual. Namun begitu, ianya perlu mematuhi beberapa kriteria seperti yang termaktub di dalam Mekanisma Penyelenggaraan Kuota Bumiputera Negeri Selangor yang berkuatkuasa pada 11 Ogos 2011.

    Mekanisma Penyelenggaraan Kuota Bumiputera Negeri Selangor ini sebagai panduan kepada semua agensi kerajaan dan swasta khususnya pemaju dalam proses permohonan pelepasan unit-unit hartanah kuota Bumiputera termasuklah kategori perumahan. Pemaju boleh memohon untuk pelepasan kuota Bumiputera melalui empat (4) peringkat berdasarkan kriteria dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    Antara kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi oleh pemaju sebelum sesuatu rayuan permohonan pelepasan kuota Bumiputera diberikan, pemaju perlu mengemukakan beberapa maklumat atau aktiviti kepada LPHS seperti berikut:

    1. Laporan projek yang mengandungi statistik jualan;
    2. Salinan keratan akhbar-akhbar tempatan termasuklah akhbar Selangorkini, majalah, portal (website) yang mempromosikan hartanah-hartanah milik pemaju;
    3. Salinan Sijil Perakuan Arkitek yang menunjukkan kemajuan projek di tapak;
    4. Menyertai pameran hartanah Bumiputera yang dianjurkan samada oleh pihak LPHS atau swasta.

     

    Selain itu, pemaju perlu terlebih dahulu menjual kesemua unit-unit hartanah kuota bukan Bumiputera sebelum boleh memohon untuk pelepasan kuota Bumiputera.

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, peringkat-peringkat pelepasan kuota Bumiputera terbahagi kepada empat (4) peringkat seperti berikut :

     

    • Peringkat Pertama – Kemajuan Projek 50%
    1. Semua unit-unit hartanah bukan Bumiputera habis dijual.
    2. Kemajuan projek di tapak mencapai 50% berdasarkan kepada Sijil Perakuan Arkitek.
    3. Pemaju telah mempromosikan unit- unit hartanah berkenaan termasuklah mengiklankan di akhbar-akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris.

     

    • Peringkat Kedua – Kemajuan Projek 75%
    1. Semua unit- unit hartanah yang mendapat pelepasan kuota Bumiputera di Peringkat Pertama habis dijual dan telah membuat bayaran potongan harga Bumiputera kepada LPHS.
    2. Kemajuan projek di tapak mencapai 75% berdasarkan kepada Sijil Perakuan Arkitek.
    3. Pemaju telah mengiklankan di akhbar- akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris serta di Selangorkini.

     

    • Peringkat Ketiga – Siap dan mendapat CF/CCC
    1. Semua unit- unit hartanah yang mendapat pelepasan kuota Bumiputera di Peringkat Kedua habis dijual dan telah membuat bayaran potongan harga Bumiputera kepada LPHS.
    2. Kemajuan projek siap 100% dan mendapat CF/ CCC berdasarkan kepada Sijil Perakuan Arkitek.
    3. Pemaju telah menyertai pameran hartanah yang dianjurkan samada oleh pihak LPHS mahupun pihak swasta.
    4. Pemaju telah mengiklankan di akhbar- akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris.

     

    • Peringkat Keempat – 6 bulan selepas mendapat CF/CCC
    1. Semua unit- unit hartanah yang mendapat pelepasan kuota Bumiputera di Peringkat Ketiga habis dijual dan telah membuat bayaran potongan harga Bumiputera kepada LPHS.
    2. Projek telah mencapai enam (6) bulan selepas mendapat CF/CCC berdasarkan kepada Sijil Perakuan Arkitek.
    3. Pemaju telah mengiklankan di akhbar- akhbar tempatan berbahasa Melayu dan Inggeris.

     

    Walau bagaimanapun, setiap pelepasan kuota Bumiputera yang diberikan, pemaju di kehendaki membuat bayaran balik potongan harga seperti berikut :

    1. Bangunan Kediaman – 7% daripada harga jualan bagi setiap unit yang diberikan pelepasan.
    2. Bangunan Perniagaan – 10% daripada harga jualan bagi setiap unit yang diberikan pelepasan.
    3. Perusahaan/ Industri – 10% daripada harga jualan bagi setiap unit yang diberikan pelepasan.

     

    Kesemua bayaran tersebut akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Tabung Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera Dan Sumbangan Pengecualian Pembinaan Hartanah Harga Kawalan.

Lampiran

Tiada Lampiran.