Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
114) KUNCI AIR SUNGAI AUR, JALAN BANTING, PANDAMARAN
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah cadangan dari JPS untuk menambahbaik kunci air Sungai Aur untuk mengurangkan kekerapan banjir kilat?
Kepesatan pembangunan di Lembangan Sungai Aur ini termasuk taman perumahan lama di bahagian hulu tadahan telah memberi kesan kepada sistem saliran. Kebanyakan parit dalaman tidak lagi mampu untuk menampung kapasiti aliran air yang banyak setiap kali hujan lebat berterusan melebihi satu jam dan ianya menjadi punca berlakunya banjir kilat. Topografi kawasan yang rendah dan rata juga menyebabkan air mengalir perlahan dan melimpah jika melebihi kapasiti sistem saliran.
Keadaan menjadi lebih kritikal kerana terdapat lintasan utiliti lama di Sungai Aur yang menyebabkan sekatan pada aliran air. Sampah-sampah yang tersekat menyebabkan aliran air menjadi perlahan dan melimpah ke tebing sebelum sempat sampai ke pintu air. Sampah yang mengalir dari hulu akhirnya akan sampai di pintu air dan perangkap sampah (trash rake) sebelum masuk ke sistem pam. Kuantiti sampah terapung yang banyak telah mengganggu operasi pam terutamanya ketika hujan lebat menyebabkan pam tidak dapat beroperasi secara optimum.
Sehingga kini, Kunci Air Sungai Aur beroperasi dengan baik dan tiada limpahan air sungai berlaku di kawasan kunci air. Pada masa ini, tiada keperluan untuk menambah baik Kunci Air Sungai Aur. Walau bagaimanapun, bagi mengurangkan impak kejadian banjir di kawasan hulu, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) akan menaiktaraf Kolam Takungan Banjir Sungai Aur dan kini dalam proses penilaian tender.
Sebagai langkah jangka pendek, JPS telah melaksanakan kerja-kerja seperti berikut:-
- Penyelenggaraan berkala sampah dan sistem mekanikal mengikut jadual.
- Menambah struktur perangkap sampah di kunci air.
Manakala sebagai langkah jangka panjang, JPS di peringkat Persekutuan akan menjalankan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Pekan Meru, Klang. Objektif kajian PISMA adalah untuk merangka pelan induk jangka masa panjang dalam pengurusan air larian hujan untuk mengurangkan risiko banjir kilat. Kajian yang telah disiapkan pada tahun 2009 iaitu Stormwater Management and Drainage Master Plan Study for The Town of Klang masih digunapakai sebagai panduan pengurusan sistem saliran di Daerah Klang. Walau bagaimanapun, keperluan untuk menambah baik Kunci Air Sungai Aur akan dikaji semula mengambil kira trend pembangunan semasa melalui Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Pekan Meru, Klang yang akan dilaksanakan oleh JPS di peringkat Persekutuan.
Kerajaan Negeri Selangor melalui JPS juga telah melaksanakan Projek Tebatan Banjir di Pandamaran, Pelabuhan Klang, Daerah Klang, Selangor Darul Ehsan yang merangkumi skop merobohkan dan membina semula kunci air sedia ada di bahagian hilir Sungai Aur dan telah siap pada tahun 2020 seperti perincian berikut:-
Bil. Nama Projek Skop Kos Projek (RM) Tarikh Mula –
Tarikh Siap
Status 1. Projek Tebatan Banjir di Pandamaran, Pelabuhan Klang, Daerah Klang, Selangor Darul Ehsan (i) Merobohkan dan membina semula kunci air sedia ada di bahagian hilir Sungai Aur. (ii) Pembinaan Pump Sump – Screw Pump 3 Nos berkapasiti 101 ft3/s.
(iii) Kerja-Kerja Penstabilan Tebing Sungai Aur.
7,299,100.00 21.11.2018 –
20.5.2020
Projek Siap