Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

113) KUNCI AIR JALAN PAPAN, PANDAMARAN

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah JPS bercadang untuk menambah pam di pintu kunci air Jalan Papan, Pandamaran?

    Kawasan Jalan Papan merupakan kawasan perumahan di bahagian hulu dan kawasan perindustrian di bahagian hilir. Sistem saliran di kawasan ini mengalir keluar ke Sungai Aur melalui Kunci Air Jalan Papan. Kawasan Jalan Papan ini tidak dikategorikan sebagai kawasan hotspot Pada bulan Mei 2022, sebuah pam bergerak dengan kapasiti 5 cusec (ft3/s) telah ditempatkan di kunci air ini lanjutan daripada kerosakan pada actuator (penggerak) yang menyebabkan pintu air tidak boleh ditutup lalu mengakibatkan kejadian banjir akibat fenomena air pasang besar pada 16 Mei 2022.

     

    Pada 24 Jun 2022, Taman Tengku Bendahara Azman, Jalan Aur Pelabuhan dilaporkan mengalami kejadian banjir. Bacaan hujan pada waktu itu direkodkan 43mm dalam masa 1 jam. Pada ketika itu, pam telah diaktifkan bagi mempercepatkan pengeluaran air sewaktu pintu air ditutup. Tiada kejadian limpahan air sungai/ parit dilaporkan di kawasan Jalan Papan. Kejadian banjir di Taman Tengku Bendahara Azman adalah disebabkan oleh banjir kilat saliran dalaman di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Bagi memastikan kelancaran pengoperasian Kunci Air Jalan Papan, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) telah melaksanakan kerja penyelenggaraan berkala pembersihan log boom dan sistem mekanikal Kunci Air Jalan Papan. Pam bergerak juga masih ditempatkan di Kunci Air Jalan Papan bagi membantu mengeluarkan air semasa pintu air ditutup apabila air laut dalam keadaan pasang.

     

    Sebagai langkah jangka pendek, JPS telah melaksanakan kerja-kerja seperti berikut:-

     

    • Meletakkan pam bergerak dengan kapasiti 5 cusec (ft3/s)
    • Penyelenggaraan sampah di log boom dan kunci air
    • Penyelenggaraan berkala sistem mekanikal kunci air

     

    Manakala sebagai langkah jangka panjang, JPS di peringkat Persekutuan akan menjalankan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Pekan Meru, Klang. Objektif kajian PISMA adalah untuk merangka pelan induk jangka masa panjang dalam pengurusan air larian hujan untuk mengurangkan risiko banjir kilat. Kajian yang telah disiapkan pada tahun 2009 iaitu Stormwater Management and Drainage Master Plan Study for The Town of Klang masih digunapakai sebagai panduan pengurusan sistem saliran di Daerah Klang.

  2. Jika ya, sila nyatakan tempoh masa dan jumlah kos anggaran.

    Berdasarkan Kajian Stormwater Management and Drainage Master Plan Study for The Town of Klang, pengoperasian pintu air menggunakan sistem mekanikal adalah memadai. Walau bagaimanapun, keperluan pam di Kunci Air Jalan Papan akan dikaji semula mengambil kira trend pembangunan semasa melalui Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Pekan Meru, Klang yang akan dilaksanakan oleh JPS di peringkat Persekutuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.