Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
284) KUAT KUASA AKTA PENGURUSAN STRATA 2013 (AKTA 757)
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan status terkini hakmilik strata pangsapuri di DUN Kampung Tunku: Residency Park 51 @Park 51 Residency (Lot 23513), Impian Seri Setia (Lot 23514) dan Boulevard 51 @Park 51 (Lot 23515).
Untuk makluman Yang Berhormat Kampung Tunku, status terkini hakmilik strata bagi pangsapuri di DUN Kampung Tunku adalah seperti berikut:
- Residency Park 51 @Park 51 Residency (Lot 23513)
Hakmilik : PN 111705 Lot 23513 Bandar/ Daerah : Bandar Petaling Jaya, Petaling Status : i. Pemaju tanah telah mengemukakan Permohonan Pecah Bahagi Bangunan untuk Pengeluaran Hakmilik Strata melalui Jurukur Tanah Berlesen iaitu Jurukur Sutera pada Disember 2020; ii. Walaubagaimanapun, permohonan tersebut telah dikuiri berikutan penyediaan dokumen tidak lengkap dan tidak teratur. Surat kuiri telah dikeluarkan pada Januari 2021;
iii. Sehingga catatan ini direkodkan, masih tiada Permohonan Pecah Bahagi Bangunan untuk Pengeluaran Hakmilik Strata daripada pihak pemaju.
2. Impian Seri Setia (Lot 23514)
Hakmilik : PN 97427 Lot 23514 Bandar/ Daerah : Bandar Petaling Jaya, Petaling Status : i. Pemaju tanah telah mengemukakan Permohonan Pecah Bahagi Bangunan dan Permohonan Meminda Syarat Nyata untuk skim ini pada untuk Pengeluaran Hakmilik Strata melalui Jurukur Tanah Berlesen iaitu Jurukur Sutera pada April 2015; ii. Permohonan Meminda Syarat Nyata telah diluluskan oleh YAB Menteri Besar pada Disember 2016;
iii. Notis 7G telah dikeluarkan kepada pihak pemaju untuk tujuan bayaran premium tambahan pada Januari 2017;
iv. Pemaju membuat rayuan mohon lanjut tempoh Notis 7G pada Mei 2017, walaubagaimanapun permohonan tersebut telah ditolak pada Jun 2017;
v. Sehingga kini pemaju masih belum menjelaskan premium tambahan tersebut.
3. Boulevard 51 @Park 51 (Lot 23515)
Hakmilik : Lot 23515 Bandar/ Daerah : Bandar Petaling Jaya, Petaling Status : i. Tiada Permohonan Pecah Bahagi Bangunan untuk Pengeluaran Hakmilik Strata dikemukakan oleh pemaju; ii. Lot tanah tersebut didapati tiada hakmilik muktamad (final tittle) sedangkan permohonan ukur kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Cawangan Negeri Selangor (JUPEM) telah selesai pada tahun 2017.
-
Apakah tindakan penguatkuasaan kerajaan terhadap pemaju yang leka?
Untuk makluman Yang Berhormat Kampung Tunku, sekiranya pihak pemaju gagal untuk mengemukakan permohonan hakmilik strata, dokumen hakmilik strata tidak akan dikeluarkan bagi pembangunan tersebut. Sekiranya tiada hakmilik dikeluarkan, pihak pemaju telah melanggar perjanjian jual beli di antara pemaju dengan pembeli. Tindakan undang–undang boleh diambil di bawah Akta Kontrak dan Akta Pemajuan Perumahan Kawalan dan Perlesenan 1966 (Akta 118).
Selain daripada itu, pihak Kerajaan Negeri melalui PTGS boleh mengambil tindakan di bawah seksyen 8, Akta Hakmilik Strata 1985 terhadap mana-mana pemilik asal tanah atau pemaju yang gagal untuk mengemukakan permohonan hakmilik strata mengikut tempoh yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, kelulusan permohonan hakmilik strata tersebut adalah tertakluk di bawah seksyen 10, Akta Hakmilik Strata 1985.