Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

186) KUARI DI DUSUN TUA

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah lesen kuari yang telah diluluskan dalam Dusun Tua mengikut PBT? Sila senaraikan butir-butirnya. (nama syarikat, lokasi kuari,tempoh lesen)

    Senarai lesen kuari yang diluluskan pada tahun 2024 di dalam Dusun Tua adalah seperti berikut:

    Bil. Nama Pemohon/Operator Lokasi Kuari Tempoh Lesen
    1. Mestika Pujangga Sdn. Bhd. Hulu Langat 31 Jun 2024
    2. Ultra Palms Sdn. Bhd. Sungai Long 31 Jun 2024
    3. Dolomite Granite Quarry Sdn. Bhd. Sunga Long 31 Jun 2024
    4. Ang Cheng Ho Quarry Sdn. Bhd. Sungai Long 31 Jun 2024
    5. Batu Tiga Quarry Sdn. Bhd. Sungai Long 31 Jun 2024
  2. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan bagi memastikan bahawa aktiviti kuari tidak akan menggugat keselamatan awam, kerosakkan alam sekitar dan kawasan- kawasan perumahan / bangunan di sekitarnya?

    Aktiviti kuari merupakan salah satu aktiviti yang memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi di Daerah Hulu Langat. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan mitigasi bagi mengawal selia aktiviti kuari di Daerah Hulu Langat bagi memastikan kemampanan alam sekitar seperti berikut:

     

    • Pemantauan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat melalui Permohonan Permit (Borang 4C) Pengeluaran Bahan Batuan Di Bawah Seksyen 70 Kanun Tanah Negara (KTN)

    Semua aktiviti pengeluaran bahan batuan perlu mendapat kelulusan Permit Pengeluaran Bahan Batuan tertakluk kepada Pekeliling yang sedang berkuatkuasa dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pelbagai agensi teknikal.

    Setiap permohonan untuk skim kuari perlu disertakan dengan kelulusan Laporan Environmental Impact Assessment (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor. Selain itu, Selangor Quarry Rules 2003 juga dijadikan rujukan bagi mengawal operasi kuari.

     

    Setiap pemohon perlu mengemukakan permohonan memperbaharui permit setiap tiga (3) bulan bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap paras kualiti udara, bunyi dan air agensi-agensi teknikal dipatuhi.

     

    • Penetapan Syarat-Syarat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Bagi Mengatasi Pencemaran Udara

    JAS merupakan agensi yang mengawal kesan alam sekitar akibat aktiviti kuari. Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah seperti berikut:

    • Sebarang Buangan Terjadual ke atas permohonan yang tersenarai di Jadual Pertama (Peraturan 2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, P.U (A) 158 hendaklah diurus dengan sempurna mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan dalam Peraturan tersebut. Buangan Terjadual hendaklah dilupuskan, diolah atau diperolah kembali di premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar.
    • Benteng hendaklah dibina di sekeliling tangki simpanan minyak dan bahan petroleum. Benteng yang dibina hendaklah berupaya menampung sekurang-kurangnya 110% kandungan tangki terbesar di dalam benteng berkenaan. Tapak tangki hendaklah diperbuat daripada konkrit dan kemudahan untuk mengepam semula bahan yang tumpah hendaklah disediakan.
    • Kawalan pencemaran habuk semasa kerja-kerja operasi dan pemindahan bahan batuan hendaklah mematuhi nilai batas dan standard yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. Ini termasuklah melaksanakan semburan air, bahan batuan ditutup dengan kanvas semasa pengangkutan keluar dan tayar-tayar kenderaan hendaklah dibersihkan sebelum bergerak di jalan awam.

     

    • Penetapan Syarat-Syarat Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Sebagai Langkah mengatasi Pencemaran Air

    Antara syarat-syarat yang dikenakan oleh JPS dan LUAS adalah seperti berikut:

    • Pengusaha dikehendaki memohon Kebenaran Bertulis daripada LUAS kerana kerja-kerja pengorekan pasir sungai merupakan aktiviti pengubahan sumber yang memerlukan Kebenaran Bertulis LUAS sebelum sebarang kerja-kerja dijalankan di tapak selaras Seksyen 43(1) Enakmen LUAS 1999 dan Peraturan-Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013.
    • Kegagalan Pengusaha memohon Kebenaran Bertulis boleh menyebabkan disabitkan kesalahan menurut Seksyen 43(4) Enakmen LUAS 1999, boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.
    • Pengusaha dikehendaki memastikan suatu kawasan penampan disediakan dan kawasan penampan itu hendaklah berada di dalam keadaan tidak diganggu, semulajadi atau keadaan lain yang ditetapkan dengan jarak atau kelebaran seperti dalam Jadual 1 Peraturan-Peraturan Aktiviti Pengubahan Sumber (Selangor) 2013.

     

    • Polisi Am dan Tambahan yang Dikenakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat dan Pihak Berkuasa Tempatan

    Antara Polisi Am Tambahan (Perlombongan) JKR Daerah Hulu Langat adalah seperti berikut:

    • Tidak sekali-sekali dibenarkan di dalam kawasan rizab jalan.
    • Perlombongan di dalam kawasan 100 meter dari tepi rizab jalan dan kurang daripada 500 meter dari / selepas struktur jambatan tidak dibenarkan.
    • Perlombongan di luar 100 meter dari tepi rizab jalan boleh dibenarkan tertakluk kepada syarat-syarat lazim dan pengawalan oleh Pengarah Tanah dan Galian. Ini adalah untuk memastikan keselamatan jalan tersebut dan juga lain-lain harta Kerajaan.
    • Semua operasi perlombongan hendaklah memastikan keselamatan harta benda Kerajaan dan kestabilan tebing korekan hendaklah diselenggara dengan sempurna.

     

    • Penetapan Kaedah Operasi Kuari Yang Bersesuaian oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG)

    JMG telah menggariskan pelbagai syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh pengusaha kuari. Antaranya seperti berikut:

    • Pemohon hendaklah memastikan cerun yang dibina untuk tujuan pengambilan tanah berada di dalam lot permohonan tersebut sahaja.
    • Sebarang cerun yang dibina mestilah tidak melebihi kecerunan 45 darjah. Ketinggian teres setiap cerun mestilah kurang dari 5 meter. Aspek kestabilan cerun mestilah diberi perhatian serius. Pemohon mestilah memastikan semua cerun yang dibina sentiasa berada di dalam keadaan selamat pada setiap masa.
    • Sebarang kerja berkaitan pemindahan tanah haruslah mengambil kira faktor keselamatan awam, tidak menjejaskan aktiviti komuniti setempat dan kesan terhadap infrastruktur sedia ada serta alam sekitar.

     

    • Pemantauan dan Penguatkuasaan Unit Penguatkuasaan agensi-agensi teknikal

    Pemantauan secara berkala dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh semua agensi yang berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

    Syarat-syarat yang dikenakan adalah berdasarkan lokasi, jenis bahan batuan dan persekitaran kuari berkenaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.