Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
346) KUARI DI DUN KUANG
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah kuari yang beroperasi di DUN Kuang?
Berdasarkan semakan rekod di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, terdapat satu (1) permit yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi tujuan kuari di dalam kawasan Dun Kuang iaitu di atas hakmilik HSD 70265 PT 17635 Mukim Rawang Daerah Gombak. Pemegang permit yang diluluskan ini adalah merupakan pemilik tanah berkenaan iaitu Layar Generasi (M) Sdn. Bhd.
Keluasan tanah yang diluluskan bagi permit kuari ini adalah sebesar 21.419 ekar (86,668 meter persegi). Permit Borang 4C telah dikeluarkan kepada Layar Generasi (M) Sdn. Bhd. bermula pada 01 Januari 2024 sehingga 31 Mac 2024 dan pemegang permit hendaklah memperbaharui permit tersebut setiap tiga (3) bulan.
Walau bagaimanapun, berdasarkan semakan rekod Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, terdapat enam (6) buah kuari diberikan lesen dan sedang beroperasi di dalam Hutan Simpan Bukit Lagong. Selain itu, terdapat tambahan tiga (3) lagi kuari yang diluluskan lesen oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan dijangka akan beroperasi di Fasa II pada tahyn 2024 sehingga 2026.
-
Sila nyatakan syarikat konsesi kuari yang beroperasi di kuari DUN Kuang serta konsesi kuari manakah yang telah ditamatkan operasi.
Berdasarkan semakan rekod di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, tiada syarikat konsesi yang menjalankan operasi kuari di dalam Daerah Gombak. Permit Kuari diberikan berdasarkan permohonan oleh Syarikat melalui Jawatankuasa Teknikal Pemantauan dan Penyeragaman Berkaitan Bahan Batuan dan Mineral Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
-
Bagaimana proses pemantauan dilaksanakan oleh agensi Kerajaan Negeri terhadap kuari-kuari tersebut?
Proses pemantauan dilaksanakan secara berkala ke atas pengoperasian kuari-kuari di dalam Daerah Gombak yang mempunyai permit yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri. Pemeriksaan dokumen pengeluaran / doket / permit ke atas lori-lori yang membawa bahan muatan kuari dilaksanakan untuk memastikan pengeluaran tersebut mempunyai kebenaran yang sah daripada Pihak Berkuasa Negeri. Sekiranya lori-lori tersebut tidak mempunyai dokumen pengeluaran, maka tindakan penahanan / tangkapan lori boleh diambil selaras dengan Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Pengekstrakan / Pemindahan Bahan Batuan Secara Tidak Sah). Selain daripada itu, tindakan pembatalan permit kepada operator kuari juga boleh diambil sekiranya operator kuari gagal untuk mematuhi mana-mana syarat yang telah ditetapkan oleh Pentadbir Tanah Gombak.