Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

9) KUARI DALAM HUTAN SIMPAN BUKIT LAGONG

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Dakwaan penguasaan 27 operasi kuari dalam Hutan Simpan Bukit Lagong disiarkan dalam internet telah dikuasai kepada seorang Menteri Kerajaan Persekutuan. Apakah penjelasan kerajaan?

    Secara umumnya, maklumat aktiviti pengkuarian di Hutan Simpan Bukit Lagong adalah seperti berikut:

    i) Enam (6) buah kuari yang telah diluluskan sejak tahun 1992 dengan keluasan 208.04 hektar sedang beroperasi pada ketika ini dan dijangka akan tamat dalam masa terdekat mulai tahun 2023;

    ii) Dua puluh (20) buah kuari yang telah diluluskan sekitar tahun 2018/2019 dengan keluasan 800.50 hektar dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2023 bagi Fasa Pertama dan tahun 2026 bagi Fasa Kedua. Kesemua kuari ini boleh beroperasi sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah dikenakan;

    iii)  Aktiviti pengkuarian ini diluluskan melalui pengeluaran Lesen Kecil di bawah Seksyen 28 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

    Mengikut Seksyen 14, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, “Segala hasil hutan yang berada, terletak, tumbuh atau berasal dalam Hutan Simpanan Kekal atau Tanah Kerajaan hendaklah menjadi harta Pihak Berkuasa Negeri kecuali jika hak ke atas hasil hutan itu telah dilupuskan secara khusus mengikut peruntukan Akta atau mana-mana undang-undang bertulis lain”.

    Semua kuari dalam HSK telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Ini adalah selaras dengan Seksyen 16, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 iaitu “Kuasa untuk mengeluarkan lesen, permit penggunaan, dan sebagainya dengan cara tender, perjanjian dan sebagainya melalui tiga (3) kaedah iaitu melalui pelawaan tender-tender mengenainya; atau melalui suatu perjanjian; atau mengikut apa-apa cara lain atau melalui apa-apa proses lain sebagaimana difikirkannya patut dalam hal-keadaan sesuatu kes tertentu”.

    Untuk makluman, bagi setiap permohonan baharu yang diterima akan dibincang dan dipertimbangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Perhutanan Negeri Selangor (JKPPNS) yang dianggotai oleh agensi teknikal seperti Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Unit Perancangan Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Jabatan Mineral & Geosains Selangor/W.Persekutuan (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum diangkat bagi kelulusan MMKN.

    Setiap kuari yang akan beroperasi adalah wajib mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal berkaitan seperti pelaksanaan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA), pematuhan syarat-syarat Skim Kuari dan penyediaan jalan pengeluaran berdasarkan Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan) 2018 serta syarat-syarat lain yang berkaitan.

     

    Setiap pelesen yang berjaya juga perlu menyediakan Rancangan Pengurusan Kuari 10 Tahun yang merangkumi susunatur infrastruktur, kaedah perancangan aktiviti kuari, pengurusan overburden, pemuliharaan kawasan dan sebagainya. Kebenaran mula operasi aktiviti pengkuarian kuari akan diberikan secara berfasa bagi mengurangkan impak alam sekitar.

    b) Pengeluaran hasil dari hutan simpanan kekal seperti bahan batuan granit boleh diberi keutamaan bagi menjamin sumber bahan mentah yang mencukupi untuk menampung permintaan yang tinggi seiring dengan kepesatan pembangunan di seluruh negeri Selangor dan sekitar Lembah Klang.

    Sehubungan itu, pembukaan dan pengoperasian kuari-kuari di dalam hutan simpanan kekal ini diperlukan bagi menangani isu kerencatan ke atas pembangunan pada masa kini dan akan datang.

    Tambahan, pada tahun 2018 pihak Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Selangor turut menyediakan satu maklumat mengenai status rezab simpanan batuan granit ke atas kuari sedia ada berdasarkan Laporan Skim Kuari. Maklumat tersebut mendapati kebanyakan kawasan kuari berkenaan telah mengalami kekurangan rezab bahan batuannya dalam tempoh kurang daripada empat (4) tahun ataupun lebih sedikit. Oleh itu, kelulusan dan pembukaan kuari-kuari baharu dibuat bagi menggantikan kuari-kuari yang akan ditamatkan operasinya sedikit masa lagi.

    Selain itu, Hutan Simpan Bukit Lagong telah dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran sejak diwartakan pada tahun 1917 lagi. Sehubungan itu, kawasan hutan ini telah menjanakan hasil pendapatan kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui kutipan royalti, premium dan ses bahan batuan granit selaras dengan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 dan Kaedah-Kaedah Hutan Selangor 2014 (Pindaan 2020).

    c) Sebagai langkah pengurangan kesan alam sekitar dan bagi memastikan aktiviti pengkuarian tidak menjejaskan kehidupan penduduk sekeliling, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah menetapkan langkah-langkah mitigasi untuk dilaksanakan oleh setiap pelesen kuari yang berkaitan dan tertakluk kepada kelulusan EIA. Jabatan Perhutanan Negeri Selangor juga akan meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan operasi kuari ini.

    Setiap kawasan kuari yang beroperasi juga adalah tertakluk kepada undang-undang dan syarat-syarat yang dikuatkuasakan oleh jabatan teknikal berkaitan seperti JAS, JMG, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

    Selain daripada usaha-usaha pemulihan oleh pihak jabatan, setiap kawasan kuari yang akan dihentikan pengoperasiannya selepas tamat tempoh lesen kecil adalah disyaratkan untuk menjalankan kerja-kerja pemuliharaan kawasan hutan berkenaan. Ini adalah untuk memastikan nilai-nilai biodiversiti kawasan berkenaan akan terpulih dalam jangka masa yang akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.