Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

197) KUARI BAHARU DI BUKIT LAGONG

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan proses kelulusan 27 tapak kuari baharu di Hutan Simpanan Bukit Lagong.

    Proses kelulusan bagi kuari baharu di Hutan Simpan Bukit Lagong adalah seperti berikut :

    1. JPNS telah menerima 44 permohonan baru bagi menjalankan operasi pengkuarian dalam HSK bagi tempoh dari tahun 2014 sehingga tahun 2016;
    2. Satu Kertas Ringkasan MMKN bagi tujuan pertimbangan bertajuk Laporan Status Permohonan Untuk Menjalankan Operasi Pengkuarian Di Dalam HSK di Negeri Selangor telah diangkat pada 29 Januari 2016;
    3. Syarikat Geo Solutions Resources telah dilantik bagi mendapatkan maklumat jumlah rezab bahan batuan granit serta lokasi yang berpotensi untuk aktiviti pengkuarian. Hasil kajian stok bahan batuan granit di HS Bukit Lagong telah mencadangkan hanya 16 plot kuari dengan keluasan lebih kurang 40 hektar setiap satu. Laporan Kajian Preliminari telah dikeluarkan pada Januari 2017;
    4. Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Hutan Negeri Selangor (JKPPNS) Bil 1/2016 telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Panel Saringan (JPS) Ke Atas Permohonan Operasi Pengkuarian di dalam HSK Negeri Selangor. Jawatankuasa ini terdiri daripada 5 orang wakil JPNS, 1 orang wakil masing-masing dari Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Selangor (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor;
    5. Satu Temuduga Saringan telah diadakan pada 22 hingga 25 Ogos 2016 di JPNS. Seramai 44 pemohon telah dipanggil untuk sesi temuduga tersebut. Sebanyak 16 permohonan daripada 35 pemohon yang hadir telah berjaya dipilih dengan skor markah melebih 70%. Manakala baki 5 pemohon tidak hadir semasa sesi temuduga berkenaan.

    Temuduga telah dijalankan mengikut skema soalan yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Panel Saringan seperti jadual pemarkahan di bawah:

    6. Satu Kertas Ringkasan MMKN telah diangkat bagi pertimbangan dan kelulusan 16 syarikat  yang berjaya. Keputusan dan kelulusan telah dibuat di MMKN Ke27/2018 yang bermesyuarat pada 30 Ogos 2018 dan disahkan oleh MMKN ke 28/2018 pada 14 September 2018.

    1. Surat pemakluman kelulusan telah dikeluarkan kepada 16 syarikat berkenaan dengan cadangan pengoperasian kuari dimulakan secara berperingkat iaitu Fasa 1 bermula pada tahun 2023 dan Fasa dua bermula pada tahun 2026.
    2. Setiap kuari yang akan mula beroperasi adalah wajib lulus Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal berkaitan seperti pematuhan syarat-syarat Skim Kuari, menyediakan Rancangan Pengurusan Kuari 10 Tahun dan jalan pengeluaran berdasarkan Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan) 2018 serta syarat-syarat lain yang berkaitan.
    3. Proses ini adalah selaras dengan Seksyen 16, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 iaitu “Kuasa untuk mengeluarkan lesen, permit penggunaan, dan sebagainya dengan cara tender, perjanjian dan sebagainya melalui tiga (3) kaedah iaitu melalui pelawaan tender-tender mengenainya; atau melalui suatu perjanjian; atau mengikut apa-apa cara lain atau melalui apa-apa proses lain sebagaimana difikirkannya patut dalam hal-keadaan sesuatu kes tertentu”.
  2. Apakah sebabnya untuk mewujudkan 27 tapak kuari baharu?

    Pembukaan dan pengoperasian kuari-kuari di dalam HSK ini adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya kerencatan ke atas pembangunan pada masa kini dan akan datang.

    Pengeluaran hasil produk dari HSK seperti bahan batuan granit perlu diberi keutamaan bagi menjamin sumber bekalan bahan mentah sentiasa mencukupi untuk menampung permintaan yang tinggi seiring dengan kepesatan pembangunan di seluruh negeri Selangor dan sekitar Lembah Klang.

    Tambahan, pada tahun 2018 pihak Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Selangor turut menyediakan satu maklumat mengenai rezab simpanan batuan granit ke atas kuari sedia ada berdasarkan Skim Kuari. Maklumat tersebut mendapati kebanyakan kawasan lesen kuari berkenaan telah mengalami kekurangan rezab bahan batuannya dalam tempoh kurang daripada empat (4) tahun ataupun lebih sedikit. Oleh itu, kelulusan dan pembukaan kuari-kuari baharu dibuat bagi menggantikan kuari-kuari yang akan ditutup dalam sedikit masa lagi.

    Selain itu, Hutan Simpan Bukit Lagong telah dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran sejak diwartakan pada tahun 1917 lagi. Sehubungan itu, kawasan hutan ini telah menjanakan hasil pendapatan kepada Kerajaan Negeri Selangor melalui kutipan royalti, premium dan ses bahan batuan granit selaras dengan Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 dan Kaedah-Kaedah Hutan Selangor 2014 (Pindaan 2020).

  3. Bagaimana kerajaan memastikan aktiviti perlombongan kuari tidak menjejas kehidupan penduduk sekeliling?

    Sebagai langkah pengurangan kesan alam sekitar seterusnya bagi memastikan aktiviti pengkuarian tidak menjejaskan kehidupan penduduk sekeliling, kerajaan negeri melalui JPN Selangor telah menetapkan langkah-langkah mitigasi untuk dilaksanakan oleh setiap pelesen kuari yang berkaitan dan tertakluk dengan kelulusan EIA. JPN Selangor juga akan meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan operasi kuari ini.

    Setiap kawasan kuari yang beroperasi juga adalah tertakluk kepada undang-undang dan syarat-syarat yang dikuatkuasakan oleh jabatan teknikal berkaitan seperti JAS, JMG, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

    Selain daripada usaha-usaha pemulihan oleh pihak jabatan, setiap kawasan kuari yang akan dihentikan pengoperasiannya selepas tamat tempoh lesen kecil adalah disyaratkan untuk menjalankan kerja-kerja pemuliharaan kawasan hutan berkenaan. Ini adalah untuk memastikan nilai-nilai biodiversiti kawasan berkenaan akan terpulih dalam jangka masa yang akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.