Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

89) KUARI

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Walaupun kebanyakan kuari atau lombong batu mematuhi pada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, masih terdapat banyak aduan bahawa kegiatan ini mengganggu ketenteraman awam seperti keretakan rumah. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa negeri dalam mengelakkan masalah tersebut daripada terus menghantui penduduk-penduduk, contohnya pencemaran bunyi, udara dan keretakan rumah?

    Pihak Berkuasa Negeri sedar bahawa terdapat kuari-kuari yang terletak berdekatan
    dengan kawasan perumahan dan pada masa yang sama mengganggu kenteteraman
    awam. Walaubagaimanapun beberapa langkah telah, sedang dan akan diambil untuk
    mengelakkan masalah tersebut daripada terus menghantui penduduk-penduduk seperti
    pencemaran bunyi, udara dan keretakan rumah. Antara langkah-langkah yang diambil
    adalah seperti berikut:
    i. Memastikan bahawa operasi kuari yang dijalankan telah dilesenkan di bawah
    Kaedah-Kaedah Kuari Selangor 2003 dan pengusaha/ operator kuari mematuhi
    syarat-syarat yang ditetapkan.
    ii. Pemantauan secara berkala dan mengejut dijalankan oleh jabatan-jabatan
    kerajaan yang terlibat seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam
    Sekitar, Pejabat Tanah dan Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan.
    iii. Pengusaha/ operator kuari dikehendaki untuk mengemukakan laporan
    pemantauan ambien kualiti udara, paras bunyi dan kualiti air serta pematuhan
    kepada syarat-syarat EIA, sekali bagi setiap tiga bulan yang dijalankan oleh
    konsultan alam sekitar yang dilantik kepada Jabatan Alam Sekitar.

  2. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan negeri bagi mengawal aktiviti kuari yang terletak berdekatan dengan kawasan perumahan supaya kesan pencemaran bunyi dan udara dapat diminimumkan pada tahap yang selamat

    Beberapa langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengawal aktiviti kuari yang
    terletak berdekatan dengan kawasan perumahan supaya kesan pencemaran bunyi dan
    udara dapat diminimumkan pada tahap yang selamat. Kerajaan Negeri telah
    mengarahkan pengusaha/ operator kuari yang terletak berdekatan dengan kawasan
    perumahan supaya mengambil langkah-langkah seperti berikut:

    i. Menutup sepenuhnya ’screen house (tertiary crusher)’ dengan menggunakan
    ‘galvanized steel sheeting’ dan kaedah-kaedah lain yang sesuai dan memasang
    penyembur air (water sprinkler) di bahagian akhir skrin tersebut.
    ii. Menutup sepenuhnya ’secondary conveyor belt’ dan ’tertiary conveyor belt’
    dengan menggunakan kaedah-kaedah bersesuian dan memasang penyembur
    air (water sprinkler) di bahagian akhir ’conveyor belt’ tersebut.
    iii. Memasang ‘skirting’ pada setiap ‘conveyor head drum’ dengan menggunakan
    ‘rubber skirting’ atau ’metal sheet skirting’.
    iv. Mengekalkan pokok-pokok yang sedia ada di sempadan kawasan kuari dengan
    jarak 10 meter dan menanam pokok-pokok yang sesuai yang boleh bertindak
    sebagai zon penampan di sempadan kawasan kuari.
    v. Habuk daripada kawasan stokpil hendaklah dikawal menggunakan sistem
    semburan air (water sprinkler) atau dikepung bagi lokasi yang berhampiran
    dengan perumahan.
    vi. Memasang ‘water sprinkler’ di tempat-tempat yang dikenalpasti mampu
    menyumbang kepada pencemaran habuk dan menyiram jalan menggunalan
    ‘water tanker’.

  3. Kaedah-kaedah Kuari Selangor 2003 adalah tidak sempurna kerana hak penduduk yang berdekatan dengan kawasan kuari tidak terbela dalam kaedah tersebut. Apakah tindakan yang akan diambil oleh Y.B. untuk menjaga/ memastikan keselamatan rakyat diutamakan?

    Pihak Berkuasa Negeri sentiasa mengambil berat tentang keselamatan dan kebajikan
    rakyat terutamanya yang terletak berhampiran dengan kuari. Oleh itu, Kerajaan Negeri
    akan melihat kembali Kaedah-Kaedah Kuari Selangor 2003. Sekiranya terdapat kaedah/
    peraturan yang memerlukan pindaan atau tambahan, pindaan atau tambahan tersebut
    akan dilakukan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa
    diutamakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.