Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
45) KUALITI UDARA DI KAWASAN PERINDUSTRIAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperbaiki kualiti udara di kawasan Perindustrian khususnya di Telok Gong?
Antara usaha dan inisiatif yang dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk memperbaiki kualiti udara di kawasan Perindustrian Telok Gong adalah:
- Menjalankan penguatkuasaan secara berkala ke atas kilang-kilang di dalam kawasan Perindustrian Telok Gong khususnya yang berisiko menghasilkan pencemaran udara. Pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh dan ulang lawat pemeriksaan dipertingkatkan bagi memastikan pihak kilang supaya sentiasa mematuhi had-had yang dibenarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
- Mengadakan Ops Gempur iaitu operasi penguatkuasaan oleh pasukan-pasukan daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor bagi mengembleng tenaga dan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh di kawasan Telok Gong.
- Rondaan mencegah pencemaran turut dilaksanakan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar bagi memantau dan mencegah pencemaran yang dihasilkan oleh pihak kilang di luar waktu pejabat khususnya pada hari cuti Sabtu dan Ahad pada setiap minggu.
- Selain daripada itu, Jabatan Alam Sekitar akan mengarahkan premis di kawasan perindustrian supaya memasang Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) serta diselenggara dan dipantau oleh Orang Yang Berwibawa (Competent Person) bagi memastikan prestasi SKPU tersebut berada di tahap yang optimum dan berfungsi dengan berkesan dalam
- mengawal pelepasan bahan pencemar ke udara.
-
Bagaimanakah pemantauan kualiti udara dijalankan?
Kaedah pemantauan kualiti udara yang dijalankan adalah seperti berikut:
- Pemantauan kualiti udara dijalankan oleh pihak kilang sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu dengan melantik perunding alam sekitar bertauliah bagi menjalankan Isokinetic Sampling iaitu percontohan cerobong bagi mengenalpasti tahap pelepasan kilang samada mematuhi had-had yang dibenarkan ataupun sebaliknya. Percontohan ini dibuat secara in-situ pada sela tempoh tertentu ke atas parameter-parameter yang dilepaskan berdasarkan jenis dan aktiviti pihak premis.
- Kaedah pemantauan secara Continous Emission Monitoring Systems (CEMS) menggunapakai kelengkapan pemantauan kualiti udara yang dapat memantau kualiti udara secara berterusan bagi kilang yang tertakluk kepada pemasangan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling(Udara Bersih) 2014. Setiap bacaan yang dicerap akan dihantar secara atas talian ke pusat data kawalan di JAS Ibu Pejabat dan seterusnya dapat menjana laporan bagi tujuan penguatkuasaan.
- Pada sesetengah keadaan tertentu, sekiranya lokaliti kawasan tersebut disyaki terdapat kehadiran bahan pencemar udara seperti habuk dan gas, Jabatan Alam Sekitar akan menjalankan pengukuran udara bagi mengenalpasti jenis bahan pencemar di dalam udara.
-
Apakah tindakan yang diambil terhadap kilang yang mencemarkan udara?
Kilang-kilang yang mencemarkan udara dengan melebihi had yang dibenarkan akan diambil tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah peruntukan undang-undang Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dengan tindakan seperti pendakwaan di mahkamah, Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, AKAS 1974, Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dan Perintah Larangan.