Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

271) KUALITI PENDIDIKAN PENDUDUK ASAL

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauhmanakah usaha pihak Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti pendidikan penduduk asal yang berada di DUN Semenyih?

    Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berterusan melaksanakan pelbagai bantuan dan program bagi meningkatkan kualiti pendidikan masyarakat Orang Asli di Dun Semenyih. Antara program yang dilakukan adalah Program Anjakan Pelajar bagi pelajar yang berumur 10 hingga 12 tahun dan 16 hingga 17 tahun. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama MARA/TVET. Selain itu, JAKOA juga menyediakan program motivasi pelajar bersama ibu bapa.

  2. Nyatakan berapakah bilangan pelajar dikalangan penduduk asal bagi setiap sekolah di DUN Semenyih bagi tahun 2023 dan 2024 dan apakah pencapaiannya?

    Di Dun Semenyih hanya terdapat satu (1) sekolah menengah yang menempatkan para pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Hussain. Bilangan pelajar di sekolah tersebut pada tahun 2023 adalah seramai 60 orang manakala pada tahun 2024 seramai 56 orang. Bagi tahun 2023, seramai 16 orang pelajar telah menamatkan pelajaran sehingga ke tingkatan lima (5).

  3. Adakah sebarang keciciran dan apa penyelesaiannya?

    Bagi mengurangkan kadar keciciran, JAKOA telah menyediakan beberapa inisiatif kepada pelajar seperti:-

    1. Bantuan pakaian seragam sekolah bagi pelajar tahun satu (1) dan tingkatan satu (1);
    2. Bantuan tuntutan pelbagai sebanyak RM 80.00 bagi sekolah rendah dan RM 120.00 bagi sekolah menengah;
    3. Insentif wang saku sebanyak RM 4.00 sehari bagi pelajar sekolah menengah sahaja; dan
    4. Perkhidmatan pengangkutan pelajar dari tempat tinggal ke sekolah.

Lampiran

Tiada Lampiran.