Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

26) KUALITI KEHIDUPAN KELOMPOK M40

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar dan pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan kelompok M40?

    Untuk makluman Yang Berhormat Kota Anggerik, Kerajaan Negeri prihatin kepada rakyat Negeri Selangor dengan mewujudkan program-program yang memberi fokus untuk meningkatkan taraf pendapatan dan kehidupan mereka. Di antara program pada masa kini yang dilaksanakan untuk membantu rakyat Negeri Selangor ialah Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Program IPR merupakan program jangka panjang yang bersifat holistik dan tidak hanya menyajikan pemberian bantuan kebajikan semata-mata, tetapi memberi daya melalui pemerkasaan kepada penerima manfaat yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuklah M40. Program-program IPR yang disasarkan kepada golongan M40 bagi membantu menaikkan taraf pendapatan dan kehidupan mereka adalah seperti berikut:

    1. Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar);
    2. Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT);
    3. Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS); dan
    4. Skim Rumah Selangorku (RSKU).

    Selain daripada program IPR, terdapat pelbagai program sedia ada di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang dapat membantu menjana pendapatan rakyat sama ada dalam sektor usahawan, pertanian, kesihatan dan juga pendidikan yang boleh dimohon oleh golongan M40. Program-program penjanaan pendapatan rakyat ini ditawarkan kepada mereka yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

    Kerajaan negeri akan terus melakukan penambahbaikan terhadap program sedia ada dan merangka program-program baharu yang bersesuaian dan menepati keperluan semua lapisan masyarakat di Selangor, sesuai dengan gagasan Maju Bersama.

  2. Sejauhmanakah tahap keberkesanan dasar sedia ada dalam menjamin kualiti kehidupan kelompok M40 di Selangor?

    Program dan dasar sedia ada Kerajaan Negeri dalam memperkasa taraf kehidupan golongan M40 adalah wajar dan mencukupi pada masa kini. Seperti Yang Berhormat sedia maklum, insentif dan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat Selangor bukanlah dalam bentuk sumbangan tunai sekaligus semata-mata. Kerajaan Negeri memberikan ‘joran’ kepada rakyat untuk mereka kekal ‘mengail’ demi kelangsungan hidup dan seterusnya meningkatkan taraf pendapatan serta kehidupan mereka. Program sedia ada di bawah Kerajaan Negeri Selangor dapat membantu menjana pendapatan rakyat sama ada dalam sektor usahawan, pertanian, kesihatan dan juga pendidikan.

    Jika mengambil contoh, seorang usahawan mikro boleh meningkatkan pendapatan dan taraf kepada usahawan kecil melalui Program-Program IPR yang disediakan oleh Kerajaan. Usahawan ini boleh memohon Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) untuk mendapatkan bantuan peralatan, atau memohon Skim Hijrah Selangor untuk mendapatkan pinjaman kewangan. Melalui kajian yang dilaksanakan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) pada tahun 2018, 92% responden dapat meningkatkan perniagaan selepas menerima bantuan peralatan DUMS manakala melalui Skim Hijrah Selangor pula, 85% responden berjaya meningkatkan pendapatan kasar perniagaan mereka. Kajian ini menunjukkan program-program IPR tersebut dapat menjamin peningkatan pendapatan kepada penerima-penerima IPR. Selain bantuan dan pinjaman, Kerajaan Selangor juga menyediakan program latihan kepada usahawan iaitu Latihan Usahawan IT yang dianjurkan oleh Selangor Information Technology and e-Commerce Council (SITEC). Melalui latihan ini, penerima IPR ini mampu melonjakkan perniagaan mereka melalui perniagaan secara e-dagang.

    Program dan dasar Kerajaan Negeri sedia ada sesungguhnya menjamin kualiti kehidupan rakyat, termasuklah golongan M40. Ini dapat dilihat melalui statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia bagi suku tahun ke-4 2019, yang menunjukkan perbelanjaan penggunaan isi rumah bulanan purata Selangor meningkat daripada RM 4,646 pada tahun 2014 kepada RM 5,183 pada tahun 2016 iaitu dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 5.5%. Namun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan oleh Kerajaan Negeri untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.