Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

34) KUALITI INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN AWAM DI KAMPUNG MELAYU

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Jalan-jalan di kampung masih sangat tidak memuaskan terutama melalui lot persendirian. Bagaimana Kerajaan mahu mengatasinya?

    Umumnya, projek Kerajaan Negeri termasuk pembinaan/penyelenggaraan jalan tidak boleh dilaksanakan di atas tanah hak milik melainkan tanah tersebut adalah hak milik Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri mengambil maklum akan keadaan jalan-jalan kampung berstatus tanah persendirian yang digunakan oleh orang awam dan telah menjadi laluan utama penduduk setempat.

    Oleh yang demikian, bagi tahun 2017 Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan pelaksanaan penyelenggaraan jalan-jalan kampung di atas tanah persendirian yang tidak berdaftar di bawah MARRIS menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri. Pada masa ini, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah telah memulakan proses penyenaraian mengenal pasti jalan-jalan kampung yang terletak di atas tanah hak milik persendirian yang perlu dibaikpulih.

    Sumber : Seksyen Agihan dan Pembangunan, UPEN

     

  2. Dewan orang ramai serta balai raya kebanyakan uzur. Apakah tindakan Kerajaan?

    Kerajaan Negeri akan sentiasa memastikan kawasan luar bandar di Selangor tidak ketinggalan dalam menerima pembangunan. Selaras dengan itu, sehingga September 2016 Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM3,074,521.60 khas untuk kemudahan asas desa yang boleh digunakan bagi projek di daerah termasuklah menaik taraf balai raya dan dewan orang ramai. Walau bagaimanapun, kelulusan projek adalah tertakluk kepada keperluan serta kewajaran kos projek yang dicadangkan.

    Skop projek yang dibenarkan melalui peruntukan Kemudahan Asas Desa ini adalah seperti berikut:

    • Baik pulih pagar, pondok kawalan dan pintu keluar masuk kawasan;
    • Kerja-kerja mengecat bangunan dan lain-lain kemudahan;
    • Baik pulih lantai, siling, dinding dalam dan luar bangunan;
    • Baik pulih bumbung, atap, saluran air hujan dan sistem kalis air;
    • Baik pulih tandas, sistem paip air, sistem kumbahan dan pembetungan;
    • Pencegahan rumpai/anai-anai/jaring; dan
    • Membaiki/menaiktaraf pendawaian elektrik tidak termasuk kerja-kerja perbekalan aset seperti membekal penyaman udara dan peralatan pejabat.

    Sumber : Seksyen Agihan dan Pembangunan, UPEN

Lampiran

Tiada Lampiran.