Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014
158) KUALITI HIDUP LUAR BANDAR
Tahun: 2014
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah tahap kualiti hidup rakyat luar bandar di Selangor?
Peningkatan dalam kualiti hidup rakyat di sesebuah negara amat penting kerana ianya merupakan antara alat pengukur yang digunakan dalam menilai tahap kemajuan sesebuah komuniti. Kualiti hidup juga adalah penentu yang penting dalam menggambarkan bahawa penduduk sesebuah negara itu sedang menikmati taraf kehidupan yang selesa. Kualiti hidup rakyat luar bandar di Selangor semakin meningkat berikutan pertumbuhan ekonomi setempat yang telah memperluaskan peluangpeluang pekerjaan dalam sektor-sektor bukan tradisional yang membolehkan golongan ini mempelbagaikan sumber pendapatan mereka di samping mengurangkan pergantungan kepada aktiviti-aktiviti tradisional yang berpendapatan dan berproduktiviti rendah sekaligus membantu dalam peningkatan ekonomi rakyat luar bandar. Selain daripada itu, kepesatan sektor perkhidmatan dan perindustrian juga telah memberi manfaat kepada ekonomi rakyat luar bandar di Selangor.
-
Apakah indikator untuk mengukur tahap kualiti hidup mereka?
Laporan Kualiti Hidup Malaysia yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri menjadi asas kepada pemilihan indikator-indikator yang digunakan dalam pengukuran tahap kualiti hidup rakyat luar bandar di Selangor. Indikator-indikator yang dipilih termasuklah pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan komunikasi, penyertaan sosial, perumahan, alam sekitar, kebudayaan dan liburan, persekitaran kerja, pendapatan dan pengagihan, kehidupan keluarga dan keselamatan awam.
-
Apakah strategi kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat luar bandar?
Kerajaan negeri Selangor telahpun menyusun perancangan dan strategi pembangunan yang terbaik. Pelbagai usaha pembangunan khususnya bagi pembangunan luar bandar telah dilaksanakan dengan jelas telah menunjukkan keprihatinan kerajaan bagi menjamin pembangunan yang seimbang di kawasan bandar dan luar bandar.
1) Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Negeri Berkebajikan
Pembangunan luar bandar yang dilaksanakan secara menyeluruh sebelum ini adalah dengan pengukuhan prinsip Merakyatkan Ekonomi Selangor dan Negeri Berkebajikan. Prinsip ini memenuhi keperluan masyarakat luar bandar dengan merangkumkan semua elemen pembangunan, sosioekonomi, kehidupan, agama dan tradisi di dalam satu payung pembangunan yang cermerlang.
Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan satu pendekatan utama dengan menambahkan lagi penglibatan ketua-ketua kampung di dalam perancangan dan pelaksanaan program-program kerajaan di kawasan kampung masing-masing. Contohnya,, peranan ketua kampung di dalam penyebaran maklumat dan sumbangan Kerajaan Negeri kepada masyarakat menerusi program-program MES iaitu seperti skim bantuan TAWAS, Si KEMBAR, TUNAS, SkimSEL, MiMBAR, SMUE secara langsung akan mejadikan rakyat mengetahui dan menghargai sumbangan serta peruntukan yhang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk kebajikan akar umbi.
2)Pembangunan Desa
Pembangunan Desa bukan merupakan satu projek yang boleh dilihat secara sendiri. Kerajaan Negeri ingin mengutarakan matlamat untuk menjalankan pembangunan desa secara holistik ini dengan kaedah mengambil kira soal pandangan dari kumpulan pelaksana, kerjasama daripada pembuat dasar, dan juga agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian dan Pejabat Daerah. Pada masa yang sama, matlamat utama yang ingin diutarakan oleh Kerajaan Negeri ialah untuk mengurangkan jurang pendapatan serta menanam nilai keempunyaan projek tersebut dalam diri masyarakat kampung. Pada masa ini, kaedah yang dilaksanakan dalam membantu membangunkan masyarakat kampung ialah dengan memberi insentif dan bantuan. Kerajaan Negeri ingin mengubah konsep ini kearah satu konsep yang menyeluruh dan holistik bagi memastikan pembangunan kampung setanding dengan pembangunan di kawasan bandar.
3)Pembangunan Belia
Dalam sesebuah masyarakat, kita mempunyai pemimpin bagi mengetuai komuniti atau masyarakat. Adalah tidak dinafikan bahawa golongan belia merupakan pelapis yang akan menjadi pemimpin masyarakat di masa hadapan. Bagi membantu beliabelia di desa lepasan SPM yang tidak mendapat tempat di institusiinstitusi pengajian tinggi, Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif dengan melaksanakan Program Kemahiran Teknikal Belia Negeri Selangor. Dalam program ini, seramai lima (5) orang belia yang memenuhi syarat akan ditawarkan untuk mengikuti kursus kemahiran sama ada dalam bidang elektrikal, lif, perpaipan, penyaman udara atau perladangan. Mereka akan ditempatkan untuk mengikuti pengajian di institusi kemahiran teknikal yang dilantik oleh Kerajaan Negeri. Jangka masa program ini adalah di antara (enam hingga dua belas) 6-12 bulan. Setelah tamat mengikuti kursus-kursus ini, para belia akan dilantik bekerja dalam bidang perladangan dan penjagaan bangunan mengikut bidang yang diceburi. Hal ini secara tidak langsung dapat memberi peluang pekerjaan dan sekaligus membantu meningkatkan ekonomi di luar bandar.