Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

24) KUALITI HIDUP

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan kualiti hidup Negeri Selangor sebagai yang terbaik dari segi pendidikan, perumahan, pengangkutan, kesenian kebudayaan dll. Apakah langkah yang perlu diambil dan bagaimana mengatasinya jika ianya bermasalah?

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai strategi dalam merealisasikan perancangan dan pembangunan Negeri Selangor yang kini lebih komprehensif dan holistik iaitu dengan penggabungan aspek-aspek ekonomi, sosial, fizikal dan spiritual. Konsep yang lebih teratur ini pada dasarnya telah berjaya menjadikan Negeri Selangor terus maju dan pada masa yang sama meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat.

    Strategi yang menjadi tunjang utama dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini adalah melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor atau lebih dikenali sebagai MES. Strategi ini bukan sahaja untuk memastikan kebajikan rakyat akan terus terjamin, malah Kerajaan Negeri sentiasa berpegang teguh kepada konsep “Memulangkan Hasil Negeri Kepada Rakyat” dengan telus dan saksama.

    Pelaksanaan Program MES secara berperingkat ini adalah bertujuan untuk memanfaatkan segenap lapisan masyarakat negeri ini tanpa mengira peringkat usia dan perbezaan kaum. Pendekatan Pakatan Rakyat sentiasa menjurus kepada memenuhi hak-hak rakyat sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Untuk pendidikan, Kerajaan Selangor bagi tahun 2010 telah memperuntukkan RM 6 juta kepada Sekolah Agama Rakyat, RM 6 Juta kepada Sekolah Aliran Cina dan RM 4 juta kepada Sekolah Aliran Tamil.  Akibat amalan tidak telus dan tidak prihatin Kerajaan Barisan Nasional, banyak pembangunan projek perumahan telah terbengkalai.  Justeru, kerajaan hari ini mengambil sikap membela rakyat yang terkesan dari projek-projek tersebut.  Setakat ini terdapat 132 rumah /projek terbengkalai warisan kerajaan lama dan dianggarkan tambahan 5 bilion diperlukan untuk menyelesaikan projek berkenaan.

    Terdapat juga bantuan-bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri melalui program MES seperti Program Bekalan Air Percuma, Program Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Warisan Anak Selangor, Skim Mesra Usia Emas dan Program Meningkatkan Hasil Batuan dan Mineral jelas membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan dan meningkatkan kualiti rakyat Selangor secara keseluruhannya.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri sentiasa mempergiatkan aktiviti-aktiviti rangsangan ekonomi dari semasa ke semasa bagi memacu pembangunan ekonomi negeri melalui pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor. Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri merangkumi projek-projek seperti berikut:

    1. Pemulihan dan pembersihan Sungai Klang;
    2. Pembangunan semula projek perumahan yang terbengkalai;
    3. Pembaharuan aktiviti di bandar melalui pembangunan semula kawasan terbiar di Petaling Jaya dan Klang;
    4. Peningkatan hasil tanaman padi;
    5. Perluasan sistem pengangkutan; dan
    6. Penstrukturan semula industri air Selangor.

    Strategi ini berjaya menarik penglibatan para pelabur dari dalam dan luar negeri melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta atau Private Funding Initiative (PFI) dalam pelaksanaan projek-projek yang telah dirancang. Secara kasarnya, Pakej Rangsangan Ekonomi ini telah terbukti berjaya memacu perkembangan ekonomi negeri yang positif, tetapi sebenarnya, strategi ini telah berjaya meningkatkan pendapatan negeri melalui suntikan pelaburan yang diterima dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor dengan penyediaan pelbagai peluang pekerjaan dan penambahbaikan kemudahan  dan infrastruktur untuk rakyat.

    Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa akan terus berusaha menjana pertumbuhan Negeri Selangor dengan menggalakkan aktiviti-aktiviti pelaburan dan perdagangan dari dalam dan luar negara. Kerajaan Negeri percaya usaha ini akan melonjakkan pendapatan negeri, malah akan berjaya mencipta peluangpeluang pekerjaan kepada masyarakat yang mana pada akhirnya, masyarakat bukan sahaja dapat menikmati keselesaan  daripada kemajuan yang di kecapi dan malah dapat bersama-sama bersaing di dalam pasaran yang lebih aktif dalam meningkatkan taraf hidup masing-masing.

  2. Apakah purata pendapatan, distribusi pendapatan, dan gini koefisien (gini coefficient) untuk negeri Selangor bagi tahun 2008-2010. Apakah faktor-faktor bagi menyekat bagi pengurangan ketidakseimbangan pendapatan (income inequality) ini?

    Pada tahun 2008, Negeri Selangor telah mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM116,882 juta. Dengan jumlah penduduk seramai 5,071 juta orang, pendapatan per kapita penduduk Negeri Selangor adalah sebanyak RM23,049.00.

    Manakala, bagi tahun 2009, KDNK negeri telah mencatatkan sedikit penguncupan iaitu sebanyak -1.2% kepada RM115,502 juta akibat dari kemelesetan ekonomi dunia. Dengan jumlah penduduk yang telah meningkat kepada 5,179 juta orang, pendapatan per kapita penduduk turut mengalami penguncupan kepada RM22,302.00 sahaja.

    Seterusnya, bagi tahun 2010, dianggarkan KDNK negeri akan bertumbuh pada kadar 6.1% berbanding tahun 2009 kepada RM122,524 juta. Jumlah penduduk juga dijangkakan bertambah kepada 5,283 juta orang. Pendapatan per kapita penduduk negeri Selangor pada tahun ini dianggarkan akan turut mencatatkan peningkatan kepada RM23,192.00.

    Melalui catatan KDNK dan jumlah penduduk negeri yang diperoleh saban tahun, penilaian ke atas pendapatan per kapita penduduk di negeri ini dapat dilakukan secara purata tanpa mengikut komposisi kaum dan etnik.

    Melalui kaedah pengiraan Gini Koefisien (Gini Coefficeient), negara Malaysia telah mencatatkan peningkatan yang baik. Gini Koefisien negara ini pada tahun 2009 adalah pada kadar 0.441 berbanding 0.513 pada tahun 1970. Hal ini jelas memperlihatkan kejayaan usaha-usaha yang telah dilaksanakan sepanjang 30 tahun lalu dalam mengagihkan kekayaan dan pendapatan dengan lebih adil dan sama rata.

Lampiran

Tiada Lampiran.