Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
118) KUALITI ALAM SEKITAR
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh manakah kualiti Alam Sekitar telah menurun di Lembah Klang ?
Pada keseluruhannya kualiti alam sekitar di negeri Selangor tidak menunjukkan penurunan yang signifikan berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Kualiti alam sekitar di Selangor berada pada tahap yang sama untuk tempoh 5 tahun kebelakangan dengan sedikit peningkatan dan penurunan bagi parameter-parameter tertentu disebabkan oleh faktor atau pengaruh cuaca. Perincian perubahan adalah seperti berikut:
- KUALITI AIR SUNGAI
Berdasarkan Indeks Kualiti Air Di Negeri Selangor bagi tahun 2009, status keseluruhan satu (1) sub-lembangan sungai, iaitu Sungai Bernam dikategorikan bersih. Manakala lima (5) sub-lembangan, iaitu Sg. Selangor, Sg. Tengi, Sg. Langat, Sg. Sepang dan Sg. Klang sebagai sederhana tercemar dan satu (1) lagi sub-lembangan, iaitu Sg. Buloh didapati tercemar. Manakala paras kepekatan pencemar bagi parameter pepejal terampai (SS) di semua sungai di Negeri Selangor didapati meningkat. Peningkatan tersebut berpunca daripada hakisan tebing sungai dan pengorekan pasir. Sementara itu, paras kepekatan pencemar bagi parameter ammoniakal nitrogen (NH3-N) di Sg. Klang, Sg. Tengi, Sg. Sepang, Sg. Langat dan Sg. Buloh didapati meningkat yang mana berpunca daripada pelepasan air kumbahan tanpa rawatan atau separa terawat dan juga aktiviti pertanian. Bagi parameter keperluan oksigen biokimia (BOD5) menunjukkan peningkatan di Sg. Sepang, Sg. Tengi, Sg. Selangor, Sg. Bernam dan Sg. Buloh manakala di Sg. Langat dan Sg. Klang didapati paras BOD5 menurun. Paras keperluan oksigen kimia (COD) direkodkan meningkat di Sg. Buloh, Sg. Tengi dan Sg. Selangor pada tahun 2009 manakala penurunan paras COD dikesan di Sg. Langat, Sg. Klang dan Sg. Sepang.
- KUALITI AIR MARIN
Manakala bagi pengawasan kualiti air marin pada tahun 2009 secara keseluruhannya, iaitu parameter bakteria E coli, pepejal terampai (SS) serta minyak dan gris adalah pencemar utama kepada air marin di pantai Negeri Selangor. Keseluruhan kawasan pemantauan kualiti air marin mencatatkan paras E coli yang melebihi piawai yang ditetapkan. Paras E coli yang tinggi di lokasi pensampelan yang dinyatakan dipercayai berpunca daripada pelepasan air sisa daripada kedai-kedai makan, restoran dan kumbahan domestik yang tidak dirawat dengan sempurna di sepanjang pantai ini. Di samping itu, aktiviti perkapalan dan bot nelayan dikenal pasti sebagai penyumbang utama kepada pencemaran minyak dan gris manakala aktiviti-aktiviti pembukaan atau kerja-kerja tanah di sepanjang tepi pantai dan muara sungai menyumbang kepada meningkatnya paras pencemar pepejal terampai. Kesan hakisan pantai semula jadi, juga boleh menyumbang kepada peningkatan paras pencemar pepejal terampai.
- KUALITI UDARA
Sepanjang tahun 2009, status kualiti udara di Negeri Selangor berada pada tahap sederhana pada kebanyakan masa berbanding tahap baik. Semua lokasi mencatatkan beberapa hari paras udara berada pada tahap tidak sihat di mana penyumbang utama adalah parameter ozon yang merupakan indikator pencemaran dari kenderaan bermotor. Bagi daerah Kuala Selangor, peratusan kualiti udara mengikut bilangan hari dalam tahun 2009 adalah 48% berada pada paras baik, 49% berada pada paras sederhana dan 3% berada pada paras tidak sihat. Manakala stesen di Kajang menunjukkan 27% bilangan hari berada pada paras baik dan 69% pada paras sederhana dan tidak sihat sebanyak 4%. Bandaraya Petaling Jaya mencatatkan 30% kualiti udara berkeadaan baik, 67% pada paras sederhana dan 3% paras tidak sihat, manakala Daerah Klang mencatatkan 18% kualiti udara pada paras baik dan 78% pada paras sederhana sihat dan paras tidak sihat sebanyak 4%. Bandaraya Shah Alam pula mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik sebanyak 20% dari bilangan hari, manakala 69% pada paras sederhana dan 11% pada paras tidak sihat.
-
Apakah langkah-langkah berkesan dan jumlah bajet 2011 yang dirancangkan untuk di sediakan bagi menambahbaikkan kualiti Alam Sekitar yang telah tercemar di Lembah Klang ?
Jawatankuasa Mengkaji Soalan Dewan yang bermesyuarat pada 21 Oktober 2010 telah menolak soalan ini.