Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
123) KUALITI AIR
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Butirkan parameter Air Selangor untuk memantau kualiti air terawat yang sampai ke pengguna.
Pemantauan kualiti air terawat yang dijalankan oleh Air Selangor adalah berdasarkan kepada Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pemantauan ini merangkumi lima (5) kumpulan dan dibahagikan kepada kategori parameter mikrobiologikal, fizikal dan kimia. Secara keseluruhan terdapat 131 parameter disenaraikan dengan tahap maksima yang dibenarkan serta kekerapan pemantauan mengikut garis panduan KKM.
Air Selangor memantau sejumlah 42 parameter dengan kekerapan yang telah ditetapkan sama ada setiap minggu, setiap bulan, setiap suku tahun, setiap tahun atau lain-lain tetapan masa. Parameter lain hanya akan dipantau mengikut keperluan.
Pecahan parameter yang dianalisa oleh Air Selangor mengikut kumpulan adalah seperti berikut:
- Kumpulan 1: Mikrobiologikal – Sebanyak 2 parameter yang dianalisa iaitu jumlah kolifom dan E. coli.
- Kumpulan 1: Fizikal – Sebanyak 4 parameter yang dianalisa iaitu baki klorin, pH, kekeruhan dan warna.
- Kumpulan 2: Kimia Inorganik – Sebanyak 9 parameter yang dianalisa iaitu Fluorida, Aluminium, Besi, Manganese, Ammonia, Nitrate, Jumlah Pepejal Terlarut, Keliatan, dan Klorida.
- Kumpulan 3: Organik & Logam Berat – Sebanyak 18 parameter yang dianalisa iaitu Arsenik, Cyanide, Mercury, Cadmium, Lead, Chromium, Silver, Zinc, Selenium, Sodium, Chloroform dan lain-lain.
- Kumpulan 4: Racun Serangga – Sebanyak 7 parameter yang dianalisa iaitu Lindane, DDT, Aldrin/Dieldrin, Chlordane, Endosulfan, Methoxychlor dan Heptachlor.
- Kumpulan 5: Radioaktif – Sebanyak 2 parameter yang dianalisa iaitu Gross alpha dan Gross beta.
Keperluan pemantauan pula adalah berbeza-beza mengikut peringkat pengagihan air. Berikut merupakan Frekuensi Pemantauan Pengawasan air yang dijalankan oleh Air Selangor:
Bagi Kumpulan 1,
- persampelan air mentah di muka sauk loji rawatan air (LRA) diadakan secara mingguan di samping,
- persampelan air terawat di TPO (Outlet LRA) / BRO (Outlet tangki imbangan) dan SRO (Outlet tangki servis) secara mingguan manakala di sistem agihan pula secara bulanan.
Bagi Kumpulan 2,
- persampelan air mentah di muka sauk LRA diadakan secara bulanan di samping,
- persampelan air terawat di TPO/BRO dan SRO secara bulanan manakala di sistem agihan pula secara setengah tahunan.
Bagi Kumpulan 3,
- persampelan air mentah di muka sauk LRA diadakan dalam secara suku tahunan di samping,
- persampelan air terawat di TPO/BRO dan SRO secara suku tahunan manakala di sistem agihan pula secara setengah tahunan.
Bagi Kumpulan 4,
- persampelan air mentah di muka sauk LRA diadakan dalam secara suku tahunan di samping,
- persampelan air terawat di TPO/BRO secara suku tahunan, manakala di SRO dan sistem agihan pula dilakukan mengikut keperluan.
Bagi Kumpulan 5,
- persampelan air mentah di muka sauk LRA diadakan dalam secara tahunan di samping,
- persampelan air terawat di TPO/BRO secara tahunan manakala di SRO dan sistem agihan pula dilakukan mengikut keperluan.
Di samping pemantauan mengikut kekerapan yang telah ditetapkan oleh KKM, Air Selangor turut melaksanakan pemantauan yang lebih kerap iaitu sama ada setiap 2 jam secara manual ataupun secara dalam talian (online) bagi parameter yang kritikal kepada proses rawatan air di Loji Rawatan Air (LRA) dari muka sauk hingga outlet loji. Parameter yang dipantau adalah seperti kekeruhan, pH, ammonia, bau, aluminium, fluorida, baki klorin, jumlah kolifom, E. coli dan warna.