Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
259) KPI MESYUARAT TASK FORCE BANJIR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Merujuk kepada semakan audit, mendapati kekerapan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Taskforce Banjir bagi tahun 2015 hingga 2022 adalah tidak mengikut ketetapan sekurang-kurangnya empat kali setahun kecuali pada tahun 2020, dan tiada mesyuarat pada tahun 2022. Kenapa perkara ini boleh berlaku?
Untuk makluman Yang Berhormat, isu kekerapan mesyuarat yang diadakan tidak mengikut ketetapan sekurang-kurangnya empat (4) kali setahun adalah disebabkan oleh kekangan masa Ahli Jawatankuasa Task Force Walau bagaimanapun, pemantauan secara berkala tetap dilaksanakan oleh Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa di dalam mesyuarat lain bagi memastikan bidang tugas Jawatankuasa Task Force dapat dipenuhi.
Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Tebatan Banjir Negeri Selangor Bil. 1/2023 telah bersetuju supaya kekerapan mesyuarat dikurangkan kepada minimum dua (2) kali setahun mengambil kira penubuhan dan peranan Jawatankuasa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang mana salah satu komponen utama adalah melibatkan pengurusan/ perancangan tebatan banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor.
Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke-16/2024 yang telah diadakan pada 29 Mei 2024 telah meluluskan cadangan pengurangan kekerapan Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Tebatan Banjir Negeri Selangor kepada minimum dua (2) kali setahun. Pada tahun 2024, Mesyuarat Task Force Tebatan Banjir telah diadakan sebanyak satu (1) kali iaitu pada 16 Februari 2024 manakala mesyuarat bilangan kedua dijangka akan diadakan pada bulan September 2024.
-
Apakah Kerajaan Negeri tidak serius dalam menangani isu banjir di Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menangani isu banjir yang berlaku. Terdapat projek-projek tebatan banjir yang telah diluluskan dan dalam pelaksanaan di seluruh Negeri Selangor yang mana setiap projek tersebut dijangka dapat mengurangkan kejadian banjir yang berlaku di kawasan yang terlibat. Kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala dan one-off juga sentiasa dilaksanakan bagi memastikan saliran-saliran berada dalam keadaan baik terutamanya semasa musim Monsun Timur Laut (MTL).