Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
60) KPI DALAM MENGAMBIL TINDAKAN KE ATAS KERJA TANAH HARAM
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Edry Faizal Bin Eddy Yusof
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kerajaan akan mewujudkan satu KPI untuk memastikan tindakan terhadap kerja-kerja tanah tanpa permit dilaksanakan dalam tempoh tertentu berbanding membiarkannya berlarutan sehingga beberapa tahun?
Key Performance Indicators (KPI) adalah berkaitan dengan pencapaian atau performance sesebuah organisasi, malah menjadi penunjuk pencapaian pelaksanaan organisasi masing-masing dalam satu jangka waktu yang tertentu. Kerajaan telah menyarankan budaya kerja berasaskan prestasi dengan menggunakan KPI yang diterapkan dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, berkaitan tindakan terhadap kerja-kerja tanah tanpa permit dilaksanakan dalam tempoh tertentu, Kerajaan Negeri melaksanakan pemantauan KPI satu-satu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui penetapan tempoh masa kepada penyelesaian aduan, Jadual Pemantauan Berkala dan tindakan penguatkuasaan.
Pihak PBT juga perlu mematuhi prosedur tindakan penguatkuasaan yang telah ditetapkan iaitu:
- a) SOP 1:
Prosedur Penguatkuasaan Kesalahan Menjalankan Kerja Tanpa Kebenaran Di Atas Tanah Hakmilik
- b) SOP 2:
Prosedur Penguatkuasaan Kesalahan Bangunan Tanpa Kelulusan Di Atas Tanah Hakmilik
- c) SOP 3:
Prosedur Penguatkuasaan Kesalahan Menjalankan Pembangunan Tanpa Kebenaran/ Kerja Tanah/ Struktur Sediaada Di Atas Tanah Kerajaan/ Tanah Rezab/ Kawasan Lapang
- d) SOP 4:
Prosedur Operasi Sitaan Jentera Di Atas Tanah Hakmilik
- e) SOP 5:
Prosedur Tindakan Penguatkuasaan Secara Bersepadu Tapak Pelupusan Dan Pembuangan Sampah Haram
Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas seksyen 70(A) kerja tanah tanpa kelulusan adalah di bawah Akta Jalan dan Parit Dan Bangunan 1794 [Akta 133] dan merujuk kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172], kerja-kerja tanah perlu dikemukakan terlebih dahulu ke PBT untuk kelulusan sepertimana peruntukan Seksyen 19(1) Akta 172 iaitu tiada seorang pun selain PBT, boleh memulakan, mengusahakan, atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan jika kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya.
Pelanggaran bagi pemajuan tanpa kebenaran merancang juga boleh dikenakan tindakan pendakwaan di bawah perenggan 26(1)(b) Akta 172 dan tindakan penguatkuasaan di bawah seksyen 27 Akta 172.
-
Apakah kerajaan akan memastikan PBT-PBT segera membawa kes-kes kerja tanah tanpa permit ke mahkamah?
Bagi kesalahan kerja tanah tanpa kebenaran yang telah dijalankan, PBT terlebih dahulu akan mengeluarkan tawaran kompaun mengikut Seksyen 70A (Kerja Tanah) Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 [Akta 133] bagi ditawarkan kepada pemilik tanah/ pemaju serta mengarahkan pemilik tanah/ pemaju untuk mengemukakan permohonan pelan kelulusan kerja tanah kepada pihak PBT. Sekiranya pemilik tanah/ pemaju gagal berbuat demikian, tindakan seterusnya akan dikemukakan kepada Unit Perundangan PBTuntuk tindakan undang-undang ke mahkamah.
Seksyen 70A(1) memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh memulakan atau membenarkan supaya dimulakan atau dijalankan sesuatu kerja tanah tanpa terlebih dahulu mengemukakan kepada Majlis pelan dan penentuan berkenaan dengan kerja tanah itu dan mendapat kelulusan daripada Majlis.
Berhubung perkara ini, pegawai yang diberi kuasa boleh mengambil tindakan penguatkuasaan iaitu mengkompaun mana-mana pesalah yang melakukan kesalahan di bawah peruntukan seksyen tersebut. Seterusnya, kompaun yang tidak diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan boleh didakwa di Mahkamah di bawah Seksyen 70A(9) Akta 133 di mana penalti yang ditetapkan adalah penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau kedua-duanya, dan bagi suatu kesalahan yang berterusan denda yang boleh meningkat hingga lima ratus ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.
Sehubungan itu, pihak PBT mempunyai kuasa yang mencukupi untuk mendakwa kesalahan bagi mana-mana pesalah yang melakukan kerja tanah tanpa kelulusan daripada PBT.