Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015
314) KOS SARA HIDUP TINGGI
Tahun: 2015
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan negeri untuk meringankan kesan kos sara hidup yang tinggi?
Kerajaan Negeri memandang berat berkenaan peningkatan kos sara hidup yang tinggi yang dihadapi oleh rakyat akibat dari kesan peningkatan harga minyak dan barang keperluan walaupun kawalan ke atas perkara ini adalah di luar bidang kuasa Kerajaan
Melalui program-program yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri, sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban rakyat untuk menjalani kehidupan seharian. Sebagai contoh Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah melaksanakan program Jom Shopping kepada individu yang telah dikenalpasti untuk menerima bantuan baucar perayaan sebanyak RM100.00 bagi setiap keluarga yang layak mengikut perayaan kaum.
Bantuan-bantuan lain juga turut disediakan oleh jawatankuasa-jawatankuasa tetap Negeri Selangor seperti bantuan peralatan, bina semula atau baik pulih, dana usahawan dan sebagainya kepada golongan yang layak menerima bantuan untuk membantu mereka menjana pendapatan sendiri untuk jangka masa yang panjang tanpa mengharapkan sepenuhnya bantuan daripada Kerajaan Negeri, Lembaga Zakat Selangor atau lain-lain agensi. Melalui jaringan ini, sedikit sebanyak akan mampu untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat Selangor untuk meneruskan kehidupan yang sempurna.
-
Adakah terdapat usaha bersama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menangani hal ini?
Peningkatan kos sara hidup yang tinggi bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat yang berpendapatan rendah dan sederhana, malah ianya secara tidak langsung menjadi beban kepada rakyat yang tinggal di kawasan bandar untuk meneruskan kehidupan mereka.
Dalam usaha menangani isu ini, Kerajaan Negeri belum ada sebarang usahasama dengan Kerajaan Persekutuan. Namun begitu, sekiranya terdapat cadangan atau pandangan secara khusus mengenai hal tersebut adalah disambut baik dan akan diteliti dalam usaha membantu mengurangkan beban rakyat selaras dengan dasar Negeri Selangor Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli.
Walau bagaimanapun, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor terdapat bantuan-bantuan yang telah disediakan adalah seperti berikut :-
BIL BANTUAN PERSEKUTUAN BANTUAN NEGERI 1. Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja Bantuan Am 2. Bantuan Orang Tua Melalui pemberian bantuan ini, sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan menampung kos sara hidup mereka dan sebagai tambahan kepada keperluan seharian.
-
Nyatakan keberkesanan langkah-langkah yang diambil oleh EXCO Portfolio Hal Ehwal pengguna?
Langkah-langkah yang telah diambil oleh EXCO Portfolio Hal Ehwal pengguna dalam membantu meringankan kesan kos sara hidup yang tinggi dilihat berkesan melalui Program-Program yang dianjurkan di daerah-daerah. Program-program ini memberi kesedaran masyarakat terhadap bantuan yang diberikan oleh kerajaan Negeri Selangor Negeri Selangor seperti Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Tabung Anak Pekerja Ladang, Mikro Kredit Selangor dan Insentif Perkahwinan Belia di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Masyarakat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dapat menggunakan kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri melalui Program tersebut.