Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
187) KOS SARA HIDUP RAKYAT
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk menangani kos sara hidup rakyat yang terbeban dengan keadaan ekonomi kini.
Ketidaktentuan ekonomi global kini dilihat menjadi antara penyebab utama kenaikan kos sara hidup. Menyedari kos sara hidup yang tinggi dan masih membebani hidup rakyat, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil pendekatan “peduli rakyat”. Bukan sahaja penyumbang utama kepada KDNK negara, Negeri Selangor sentiasa terkehadapan dan menjadi peneraju dalam kalangan negeri-negeri lain dalam menyediakan inisiatif-inisiatif yang berpaksikan rakyat sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang masih berada di dalam kitaran kemiskinan.
Sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan berterusan dalam membantu meringankan bebanan rakyat miskin dalam menghadapi tekanan ekonomi yang tidak menentu, Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif dalam mengupayakan rakyat untuk keluar daripada kitaran kemiskinan. Namun begitu, program-program pengupayaan sosio ekonomi ini adalah bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin dan kurang berkemampuan di Negeri Selangor serta tidak menfokuskan golongan miskin luar bandar sahaja.
Antara rancangan dan inisiatif sedia ada Kerajaan Negeri yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi adalah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Bagi mengurangkan bebanan rakyat dan peningkatan kos sara hidup, Kerajaan Negeri melihat bahawa langkah meneruskan kesinambungan “peduli rakyat” melalui pelaksanaan Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) merupakan penyelarasan yang tepat dalam memberdaya dan mengupayakan golongan kurang berkemampuan. Untuk itu, pada tahun 2018, jumlah peruntukan yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi empat puluh dua (42) Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) adalah berjumlah RM549.33 juta.
Program-program IPR seperti Program HIJRAH, Dana Usahawan Mikro, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan serta pelbagai lagi diyakini dapat terus berdiri menjadi paksi dalam mengimbangi pertumbuhan sosial dan ekonomi di antara bandar dan luar bandar. Melalui program-program tersebut, ianya dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.
-
Berapakah peruntukan yang akan disediakan untuk meringankan bebanan kos sara hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar?
Jawapan seperti di Sub Soalan A