Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

145) KOS PROJEK PENEBATAN BANJIR DAERAH GOMBAK

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Haji Zaidy Bin Haji Abdul Talib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah bajet yang terlah diperuntukkan dalam program penebatan banjir daerah Gombak mengikut pecahan DUN bagi 2013 dan 2014?

    Secara keseluruhannya, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah menerima sebanyak RM2,373,328.00 yang telah diperuntukkan dalam program penebatan banjir bagi daerah Gombak dengan mengikut pecahan DUN bagi tahun 2013 dan 2014 seperti butiran di bawah :

    Tahun Dun Peruntukkan (RM)
    2013 Hulu Klang 500,000.00
    Gombak Setia 349,608.00
    Templer/Setapak 139,910.00
    Rawang 233,810.00
    Jumlah Keseluruhan 1,223,328.00
    Tahun Dun Peruntukkan (RM)
    2014 Hulu Klang 500,000.00
    Gombak Setia 200,000.00
    Templer/Setapak 150,000.00
    Rawang 300,000.00
    Jumlah Keseluruhan 1,150,000.00
  2. Berapakah pula yang telah di belanjakan bagi bajet 2013?

    Sebanyak RM1,223,328.00 telah diperuntukkan dan dibelanjakan dalam program penebatan banjir bagi daerah Gombak pada tahun 2013.

  3. Sejauh manakah keberkesanan program penebatan banjir ini?

    Dalam menghadapi masalah banjir yang terjadi sama ada secara semulajadi atau akibat pembangunan yang tidak terancang, maka program tebatan banjir telah dirancang dan dilaksanakan dengan lebih pantas. Bagi mempercepatkan pencapaian sasaran untuk mengurangkan kawasan yang berekonomi sering dilanda banjir khususnya di dalam daerah Gombak, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah mengambil langkah-langkah pencegahan dengan mengadakan programprogram tebatan banjir seperti butiran di bawah :

    1. Projek menaiktaraf sungai di Sungai Rajah, Bandar Baru Selayang, Daerah Gombak :
      • Projek yang menggunakan peruntukan dari Kerajaan Negeri (Caruman Parit) tersebut telah siap dilaksanakan
      • Ia merangkumi kerja-kerja menaiktaraf sungai sepanjang 1.5km dan menggunakan struktur konkrit seperti precast RC U-Drain dsb.
    1. Projek menaiktaraf Sungai Kongsi Lapan serta Kolam Taman Tun Abdul Razak, Mukim Hulu Klang, Daerah Gombak :
    • Kerja-kerja menaiktaraf tersebut sedang dijalankan dan akan siap dalam masa terdekat.
    • Penekanan ke atas keberkesanan program-program tebatan banjir turut diberi khususnya kawasan penempatan penduduk setempat.
    • Kerja-kerja menaiktaraf adalah merangkumi kerja-kerja penambahbaikan kolam sediada dan menaiktaraf Sg. Kongsi Lapan dengan pemasangan struktur wellguard sepanjang 70m dan struktur MSE Wall sepanjang 350m.

    Semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan projek mengatasi banjir perlu menggembleng sumber dan memberi keutamaan kepada pelaksanaan usaha mengatasi bencana banjir. Pelbagai langkah lain telah diambil untuk mengatasi masalah banjir seperti :

    • Menjalankan kajian lembangan sungai dan menyediakan ‘Pelan Induk Penyaliran’ untuk bandar-bandar utama,
    • Pelaksanaan kaedah struktur dan bukan struktur,
    • Pewujudan sistem ramalan dan amaran banjir serta
    • Pewujudan jaringan stesen pengumpulan data hidrologi dan banjir.

    Dalam memastikan keberkesanan mengatasi masalah banjir, Manual Saliran Mesra Alam (MASMA) telah diperkenalkan pada tahun 2000 bagi menggantikan “Prosedur No1 (1975) Perancangan dan Rekabentuk” dan “Anggaran Rekabentuk Hujan.

Lampiran

Tiada Lampiran.