Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
72) KOS PERBELANJAAN BAS SMART SELANGOR
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan secara terperinci kos perbelanjaan bagi melaksanakan Bas Smart Selangor di lokasi baru
Sejak dilancarkan pada 1 Julai 2015 sehingga 30 Jun 2016, sebelas (11) laluan telah diperkenalkan dengan 34 buah Bas Smart Selangor digunakan di semua daerah. Bagi laluan tambahan terbaru pada tahun 2016, Bas Smart Selangor telah diperluaskan ke kawasan luar bandar iaitu kawasan Sepang, Kuala Langat, Selayang, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM4,363,532.64 bagi pelaksanaan Bas Smart Selangor di enam lokasi terbaharu. Pecahan perbelanjaan kos mengikut Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah seperti di bawah:
- Majlis Perbandaran Selayang : RM1,250,796.00
- Majlis Perbandaran Sepang : RM625,400.00
- Majlis Daerah Kuala Langat : RM625,400.00
- Majlis Daerah Sabak Bernam : RM621,448.32
- Majlis Daerah Kuala Selangor : RM621,448.32
- Majlis Daerah Hulu Selangor : RM619,040.00
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kos perbelanjaan ini di masa akan datang?
Inisiatif Kerajaan Negeri dalam melaksanakan Program Bas Smart Selangor bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya objektif Bas Smart Selangor ini adalah untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat, di samping dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam di dalam urusan harian.
Kelangsungan perkhidmatan Bas Smart Selangor juga bergantung kepada komitmen yang diberikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri serta faktor kewangan terutama untuk menyedia dan mengekalkan lebih banyak laluan operasi Bas Smart Selangor di semua PBT.
Umum sedia maklum bahawa, Kerajaan Negeri menyumbang sejumlah peruntukan dalam perbelanjaan Bas Smart Selangor sejak Julai 2015 hingga 2016. Oleh itu, pertambahan peruntukan di dalam Bajet tahunan amatlah diperlukan bagi memastikan perkhidmatan ini dapat diteruskan atau ditambah pada tahun-tahun akan datang. Pada masa ini, Kerajaan Negeri perlu melihat dan mengenalpasti terlebih dahulu faktor-faktor yang boleh mengurangkan kos perbelanjaan yang ditanggung untuk penyediaan bas percuma termasuklah antaranya meminta PBT yang mampu untuk membiayai sebahagian kos operasi Bas Smart Selangor.