Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

146) KOS PENGUATKUASAAN V. KOS TEKNOLOGI

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kos sebulan bagi penambahan kakitangan penguatkuasaan untuk mengelakkan pencemaran sungai?

    Kos sebulan bagi penambahan kakitangan penguatkuasaan seramai 28 orang di Unit Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk mengelakkan pencemaran sungai adalah sebanyak RM81,036.44 meliputi bayaran seperti yang dinyatakan di bawah:-

     

    BIL PERKARA BILANGAN KOS SEBULAN (RM) TEMPOH

    PENGGUNAAN

    1. Emolumen 28 orang 62,260.00
    2. Kenderaan 4 unit 4,966.67 10 tahun
    3. Kos Penyelenggaraan Kenderaan 4 unit 1,383.00
    5. Kabin 2 unit 690.10 10 tahun
    6. Pakaian seragam 28 orang 3,321.67 1 tahun
    7. Bahan api 8,415
    Jumlah 81,036.44  
  2. Apakah kos untuk memasang ozone film, yang dapat mengatasi masalah pencemaran bau?

    Teknologi rawatan ozon masih dalam peringkat perancangan dan kajian lanjut oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.

  3. Untuk jangka masa panjang, opsyen manakah yang lebih menjimatkan kos?

    Teknologi rawatan ozon merupakan salah satu dari teknologi untuk pembasmian kuman yang kini sedang meningkat penggunaannya dalam industri bekalan air. Kandungan utama dalam ozon adalah agen pengoksidaan yang kuat yang bertindak balas dengan bahan organik dan bukan organik yang diurai untuk menghasilkan oksigen yang mesra alam.  Ia mempunyai kuasa pembasmian kuman yang tinggi berbanding dengan klorin.

    Teknologi ozon ini telah digunapakai di lima Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan yang menggunakan sumber air bawah tanah memandangkan terdapat kesesuaian teknologi ini dengan sumber air mentah yang digunakan berbanding dengan LRA di negeri Selangor yang menggunakan air sungai. Di dalam menentukan penggunaan teknologi yang terbaik bagi sesuatu LRA termasuk penggunaan teknologi ozon, kajian terperinci perlulah dilaksanakan terlebih dahulu bagi menentukan ciri air mentah serta kesesuaian teknologi yang boleh digunakan.  Bukan semua LRA boleh menggunakan satu teknologi rawatan yang sama kerana terdapat perbezaan di dalam ciri air mentah, contohnya bagi sumber air mentah yang diambil terus dari sungai adalah berbeza dari sumber air mentah yang diambil dari kolam takungan bekas lombong.  Bagi Negeri Selangor, penggunaan teknologi rawatan ozon dirancang untuk dilaksanakan sebagai projek perintis di dalam pembangunan LRA Sg Rasau setelah kajian terperinci dilaksanakan.

    Walaupun terdapat pelbagai teknologi di dalam rawatan air, Kerajaan Negeri berpandangan, pemantauan secara fizikal seperti Skuad PANTAS masih diperlukan dalam mengatasi isu pencemaran sungai.  Ini adalah kerana pencemaran tersebut berlaku jauh dari muka sauk LRA dan hanya dapat dikesan melalui pemantauan fizikal. Pemantauan secara fizikal dan penggunaan teknologi di dalam rawatan air  memerlukan kos yang tinggi dan kos ini akan meningkat dari semasa ke semasa.  Kos ini juga akhirnya akan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif air.

    Justeru itu, langkah terbaik adalah memberikan kesedaran kepada setiap pengguna akan kepentingan untuk tidak mencemarkan sumber air dan akhirnya denda maksima dikenakan kepada pengguna yang mencemarkan sumber air supaya setiap individu mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjaga sumber air yang ada.  Penentuan opsyen manakah yang lebih menjimatkan kos hanya boleh ditentukan setelah Kerajaan Negeri tidak lagi berhadapan dengan isu pencemaran air mentah.

Lampiran

Tiada Lampiran.