Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

85) KORIDOR UTILITI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rasional KUSEL mengenakan caj harian bagi penyediaan kon keselamatan yang mahal kepada pemohon, walaupun pemohon dapat menyediakan kon keselamatan sendiri?

    Aspek pematuhan keselamatan trafik berdasarkan dokumen Arahan Teknik Jalan (ATJ) Jabatan Kerja Raya merupakan satu perkara yang selalu diambil mudah semasa kerja-kerja pemasangan aset utiliti bawah tanah ketika di lapangan. Hal ini boleh mengakibatkan berlakunya tragedi yang tidak diingini seperti kemalangan di tapak yang membabitkan orang awam dan juga pekerja di tapak.

    Caj harian yang dikenakan oleh pihak KUSEL adalah berpatutan meliputi perkhidmatan pengurusan dan pemantauan keselamatan trafik (PPKT) setiap hari oleh pegawai pengurusan trafik yang bertauliah (”traffic management officer”) di tapak-tapak yang sedang dinaik taraf/dibangunkan aset utiliti bawah tanah, bukan hanya menyediakan kon keselamatan semata-mata.

    Penyediaan dan penyelenggaraan papan tanda sementara serta peralatan kawalan trafik seperti papan tanda amaran, papan tanda had laju, papan tanda penunjuk arah, papan tanda kerja, papan tanda lorong sempit, papan tanda pembinaan tamat, super kon, penghadang plastik, pengelip solar, baton pengelip dan bendera trafik yang mematuhi piawaian keselamatan Arahan Teknik Jalan 2C/85 Jabatan Kerja Raya Malaysia turut disediakan oleh pihak KUSEL.

    Usaha ini adalah untuk mengurangkan risiko kemalangan ke atas orang awam dan para pekerja semasa kerja-kerja korekan utiliti bawah tanah dilaksanakan oleh pihak kontraktor/pemohon, sekaligus menjaga hak dan kepentingan awam yang berkaitan. Perkhidmatan PPKT ini juga bertindak membantu pihak KUSEL serta pihak berkuasa dalam mengenalpasti kerja-kerja pemasangan aset utiliti yang dilaksana mempunyai permit yang sah.

  2. Adakah KUSEL bertanggungjawab kepada caj kelewatan oleh pemohon akibat kegagalan KUSEL mendapatkan kelulusan permit dalam tempoh masa yang ditentukan?

    KUSEL berperanan sebagai sebuah agensi sehenti (”One Stop Agency”) yang membantu pihak penyedia utiliti dalam menyelaras permohonan permit korekan utiliti bawah tanah, selaras dengan Garis Panduan Laluan Kemudahan Utiliti dan Penggalian Jalan Negeri Selangor 2022 (GP Tersebut) yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 19/2022 pada 10 Ogos 2022 dan disahkan oleh MMKN ke 20/2022 pada 24 Ogos 2022.

    Merujuk kepada garis masa yang termaktub di dalam GP Tersebut, tempoh kelulusan permit adalah tertakluk kepada tempoh masa penyediaan dokumen permohonan di pihak pemohon, proses penyediaan pelan pengesanan utiliti bawah tanah (”utility detection mapping”) oleh pihak KUSEL dan juga proses pengurusan permohonan oleh Pihak Berkuasa Melulus.

Lampiran

Tiada Lampiran.