Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
60) KONTRAKTOR SAMPAH TONG RORO
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dan undang-undang yang cukup untuk mengawal kontraktor sampah tong roro?
Kontraktor tong Roll-on/Roll-off (Roro) adalah merupakan milik operator / kontraktor yang dilantik oleh pihak industri / syarikat swasta bagi kerja-kerja melupuskan sisa industri atau sisa binaan. Dari segi pengawalan terhadap kontraktor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai kuasa di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan dan Pengurusan Sampah Sarap Tahun 2007 bagi mengawal aktiviti pembuangan sisa di kawasan yang tidak dibenarkan oleh PBT.
-
Bagaimana untuk mengatasi isu membuang sampah secara haram dengan lebih efektif?
Bagi mengatasi isu pembuangan sampah di tempat yang tidak dibenarkan, PBT telah membuat senarai panel kontraktor yang berdaftar dengan PBT. Pihak industri / syarikat disyaratkan untuk melantik kontraktor tong roro yang telah berdaftar dengan PBT dan perlu mengemukakan laporan tipping fee kepada PBT sebagai bukti pelupusan. Sebarang ketidakpatuhan ini akan mengakibatkan lantikan kontraktor berkaitan ditamatkan dan disenarai hitam. Bagi setiap kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dan pembinaan pula juga menggunakan kontraktor perkhidmatan panel kutipan sisa binaan yang dilantik oleh PBT.
-
Adakah Kerajaan Negeri bersedia mewujudkan undang-undang baru untuk mengawal mereka?
Pada bulan September 2013, pihak Kerajaan Negeri telah memulakan kerja-kerja menggubal Rang Undang-Undang (RUU) sisa pepejal berdasarkan keputusan MMKN Ke 25/2013 pada 28 Ogos 2013 yang disahkan oleh MMKN ke 26/2013 pada 4 September 2013 agar tindakan dapat diambil ke atas pesalah serta dapat memberi pengajaran kepada masyarakat dalam menguruskan sisa pepejal. Sehubungan itu, satu dasar RUU Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam Negeri Selangor telah disiapkan dan diluluskan oleh MMKN Ke 22/2019 pada 7 Ogos 2019 yang telah disahkan oleh MMKN Ke 23/2019 pada 14 Ogos 2019.
Susulan daripada kelulusan tersebut, pihak Kerajaan Negeri telah memulakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan selaras dengan kehendak Perkara 79 Perlembagaan Persekutuan yang mengkehendaki supaya Kerajaan Negeri perlu berunding dengan Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan RUU tersebut. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak mendapat maklum balas daripada pihak Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan tersebut tetapi diminta supaya mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Akta 672).
Sehubungan itu, pihak Kerajaan Negeri mengambil pendekatan berdasarkan MMKN ke 12/2015 pada 25 Mac 2015 yang disahkan oleh MMKN ke 13/2015 pada 15 April 2015 agar pihak Kerajaan Negeri memperkasakan Undang-undang Kecil (UUK) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekiranya deraf enakmen tersebut tidak dipersetujui pelaksanaannya. Oleh yang demikian, kini Kerajaan Negeri sedang dalam tindakan untuk mengemukakan cadangan gubalan baharu bagi memperkasakan UUK Pemungutan dan Pengurusan Sampah Sarap Tahun 2007 sedia ada.