Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
119) KONTRAKTOR SAMPAH DI DUN MERU
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah kontraktor kutipan sampah yang sedang beroperasi di DUN Meru sekarang ini?
Terdapat empat (4) kontraktor yang telah dilantik oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) bagi melaksanakan perkhidmatan kutipan sampah domestik di DUN Meru. Kesemua kontraktor-kontraktor ini telah berkhidmat sejak 1 Julai 2016 iaitu ketika KDEBWM mula beroperasi di kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang merupakan projek perintis (pilot project) bagi model Project Management Company (PMC) untuk menguruskan kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam secara holistik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Empat (4) kontraktor ini telah dibahagikan kepada empat (4) zon dan kawasan perkhidmatan kutipan domestik Klang (KDK) seperti perincian berikut:
Kesemua kontraktor-kontraktor ini akan melaksanakan kerja-kerja kutipan sampah domestik mengikut jadual yang telah ditetapkan. Mereka juga telah diberikan peta kawasan perkhidmatan yang terperinci yang dilampirkan di dalam Surat Setuju Terima (SST) di awal pelantikan mereka pada 1 Julai 2016 yang lalu. Ilustrasi pecahan kawasan perkhidmatan di DUN Meru adalah seperti berikut:
-
Apakah bentuk penalti yang dikenakan kepada kontraktor sampah yang gagal melaksanakan tugas mereka?
Prestasi kontraktor-kontraktor ini akan dipantau secara bersama oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan juga KDEBWM. Berdasarkan Perjanjian Perkhidmatan yang telah dimeterai di antara MPK dan KDEBWM, Notis Tindakan Pembetulan (NTP) akan dikeluarkan sekiranya KDEBWM gagal melaksanakan tugas mereka mengikut jadual dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. KDEBWM seterusnya akan mengeluarkan NTP kepada kontraktor secara ‘back to back’ kerana mereka adalah pelaksana kerja-kerja serta operasi di kawasan perkhidmatan.
NTP ini melibatkan penalti atau denda penolakan bayaran di antara RM200 hingga RM2000 mengikut tahap keseriusan yang dibahagikan kepada empat (4) kategori iaitu sangat berat, berat, sederhana dan kecil seperti jadual di bawah:
Pengeluaran NTP ini juga akan menyebabkan penolakan markah demerit dan akan menjejaskan markah prestasi kontraktor. Mana-mana kontraktor yang tidak mencapai markah penilaian prestasi yang telah ditetapkan bakal dikenakan tindakan termasuk penamatan perkhidmatan.
-
Apakah masalah utama yang dihadapi oleh kontraktor sampah di dalam melaksanakan tugas mereka dan apakah penyelesaian masalah itu daripada pihak PBT?
Perkhidmatan kutipan sisa pepejal melibatkan tiga (3) komponen utama atau disebut sebagai 3M iaitu Man, Machine dan Method. Permasalahan melibatkan Man (Pekerja) dan Machine (Lori Kompaktor) adalah lumrah yang sering berlaku dan di luar jangka. Sebagai contoh pemandu dan pekerja yang tidak hadir atas pelbagai sebab seperti sakit dan sebagainya serta kerosakan lori kompaktor yang kadangkala berlaku secara tiba-tiba. Permasalah dari segi method (kaedah kerja) pula adalah seperti jadual kerja, penyusunan kawasan perkhidmatan yang kurang tepat dan sebagainya. Kesemua permasalahan ini kebiasaannya dapat di atasi sendiri oleh pihak KDEBWM dengan memasukkan kontraktor back up bagi memastikan kerja-kerja kutipan sampah akan tetap dapat diteruskan seperti biasa.
Selain daripada masalah yang melibatkan 3M seperti yang dihuraikan di atas, terdapat lagi tambahan 2M yang menjadi masalah utama di dalam perkhidmatan sisa pepejal ini bukan sahaja di DUN Meru, tetapi juga hampir di seluruh Selangor. 2M yang dimaksudkan adalah mentality (mentaliti) dan migrant (pendatang). Permasalahan yang disebabkan oleh 2M ini memerlukan bantuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Imigresen.
Terdapat segelintir masyarakat kita yang mempunyai mentaliti dan tahap kesedaran sivik yang rendah seperti membuang sampah merata-rata dan bukan di tempat yang sepatutnya. Masalah mentaliti ini juga turut dikaitkan dengan kebanjiran pendatang asing yang tidak mementingkan kebersihan dengan membuang sampah sesuka hati malah pernah berlaku di sebuah flat di Pelabuhan Klang sebelum ini di mana warga asing yang mendiami kawasan tersebut sewenang-wenangnya membuang sampah dari rumah kediaman mereka di tingkat atas ke bawah tanpa rasa bersalah.
Pihak PBT dan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen yang mempunyai punca kuasa akan mengambil tindakan di bawah bidang kuasa yang ada pada mereka. Selain daripada itu, PBT juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan bagi membendung isu pembuangan sampah haram dengan mengenakan kompaun dan menyita lori-lori yang dikesan membuang sampah-sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
PBT juga memainkan peranan dengan menyediakan kemudahan pembuangan sampah seperti tong sampah leachbin di tempat-tempat yang telah ditetapkan. Di dalam konteks Majlis Perbandaran Klang (MPK), mereka sedang di dalam proses menggantikan tong-tong leachbin yang telah rosak secara berperingkat bagi memudahkan orang awam membuang sampah.
KDEBWM dan juga PBT sentiasa bekerjasama rapat bagi memastikan semua permasalahan kutipan sampah dapat diselesaikan dengan baik. Semua pihak termasuk rakyat sendiri perlulah bersama-sama mengubah sikap dan lebih cakna terhadap aspek kebersihan serta bersama-sama melestarikan alam sekitar.