Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
103) KONTRAKTOR RUMAH TERBENGKALAI
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah tindakan yang dikenakan kepada kontraktor yang gagal menyiapkan perumahan yang dirancang yang menyebabkan banyak perumahan terbengkalai di DUN Meru?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa telah
mengambil tindakan ke atas pemaju-pemaju perumahan yang projek mereka
terbengkalai dengan mendapatkan nama-nama Ahli Lembaga Pengarah tersebut
daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenaraihitamkan dan diedarkan
kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan turut dipaparkan dalam laman
web Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) (senarai pemaju seperti
dilampirkan mengikut PBT/Daerah). Tujuannya ialah untuk membantu bakal pembeli
memperolehi maklumat terkini mengenai kredibiliti pemaju bagi mana-mana projek
perumahan yang ingin dibeli. Di samping itu nama-nama pemaju yang
disenaraihitamkan tersebut tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa
pembangunan di Negeri Selangor termasuk membuat permohonan untuk pembangunan
tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik syer sahaja di
bawah syarikat pemaju lain. Kerajaan Negeri juga sebagai langkah terakhir akan
mengambil tindakan perampasan tanah sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di
bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah
S.100 KTN dan pelanggaran syarat di bawah S.129 KTN bagi memastikan hak pembeli
terhadap hartanah mereka terjamin. -
Apakah bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa-mangsa/pembeli rumah terbengkalai yang menyebabkan mereka terpaksa membayar bayaran balik bank, muflis dan menanggung kos hidup yang tinggi?
Kerajaan Negeri sememangnya amat prihatin dengan nasib pembeli-pembeli rumah
yang terlibat dalam projek terbengkalai. Walaupun begitu Kerajaan Negeri hanya boleh
mengambil tindakan secara pentadbiran sahaja bagi membantu pembeli-pembeli yang
terpaksa membayar balik pinjaman bank. Bagi projek terbengkalai yang didaftarkan di
bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), para pembeli terlibat
perlu merujuk kepada KPKT untuk mendapatkan surat pengesahan projek terbengkalai
untuk membolehkan mereka berurusan dengan pihak bank dan menyusun semula
pembiayaan pinjaman tanpa dikenakan faedah disebabkan status projek yang
terbengkalai. Manakala bagi kes-kes yang tidak berdaftar di bawah KPKT, LPHS akan
mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai tersebut. Bagaimanapun bagi kes
pembeli muflis, perkara ini tidak dapat diselesaikan oleh Kerajaan Negeri kerana ia
tertakluk di bawah bidangkuasa pihak bank terlibat dan Bank Negara.