Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 April 2010 hingga 14 April 2010

52) KONTRAKTOR KELAS F (INFRASTRUKTUR)

Tahun: 2010

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah pihak kerajaan berpuas hati dengan mutu perkhidmatan kontraktor kelas F atau akan mengkaji semula kontraktor-kontraktor kelas F yang ada di negeri Selangor

    1. Untuk makluman semua Ahli Dewan Negeri Selangor, di Selangor terdapat sejumlah 4,300 kontraktor kelas F yang telah berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor, Kementerian Kerja Raya dan daripada jumlah itu 3,556 telah berdaftar dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)

     

    Kerajaan Negeri telah bersetuju agar setiap kontraktor yang ingin melaksanakan kerja  di Selangor harus berdaftar dengan UPEN terlebih dahulu dan sehingga kini tiada sebarang aduan yang diterima oleh UPEN mengenai mutu perkhidmatan kontraktor- kontraktor ini.

     

    Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai sebarang cadangan untuk mengkaji semula kontraktor-kontraktor kelas F ini memandangkan pendaftaran kontraktor kelas F telah diselaraskan oleh Pusat Khidmat Kontraktor seperti yang dinyatakan dalam Arahan Perbendaharaan dan juga mesti berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Kedua-dua agensi ini bertanggungjawab  dalam  merangka pembangunan kontraktor-kontraktor di Malaysia.

  2. Apakah perancangan kerajaan untuk memperbaiki lagi mutu perkhidmatan kontraktor kelas F di Negeri Selangor?

    1. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, PKK dan CIDB bertanggungjawab untuk merangka pembangunan kontraktor-kontraktor di Malaysia. Kedua-dua agensi ini akan menyediakan latihan dan akreditasi kepada syarikat-syarikat yang berdaftar. Maklumat mengenai kursus. Latihan dan seminar ini boleh diperolehi dari laman web rasmi kedua-dua agensi tersebut.

     

    Kerajaan Negeri juga sentiasa memastikan kontraktor-kontraktor yang ingin melaksanakan kerja-kerja di Selangor merupakan kontraktor yang berwibawa dan mempunyai semangat untuk memajukan diri dengan mengikuti kursus dan juga latihan yang dianjurkan oleh PKK dan CIDB.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi agensi-agensi pelaksana juga  sentiasa  memantau prestasi dan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh para kontraktor. Bagi syarikat yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang tinggi akan disenaraihitam dan tidak akan diberikan peluang untuk melaksanakan kerja pada masa akan datang.

     

     

     

     

    Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan dan prestasi kontraktor-kontraktor di Selangor dari YB Dato’/Tuan/Puan sekalian.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.