Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
42) KONTRAKTOR ALAM FLORA
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
33 kontraktor di bawah Alam Flora Sdn Bhd mendakwa tunggakan RM18 juta bayaran untuk kerja-kerja pembersihan awam di kawasan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS). Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) juga pernah diberi bantuan kewangan untuk membayar hutang kepada Alam Flora Sdn Bhd. Bagimanakah masalah ini boleh berlaku?
Pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) memaklumkan tunggakan hutang berkenaan dihadapi berikutan masalah kekangan kewangan yang berpunca daripada jumlah hasil pendapatan yang diterima hanya mampu untuk melepasi emolumen kakitangan pihak MDSB. Manakala masalah utama yang dihadapi oleh pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) adalah disebabkan kerana ketidakcekapan pengurusan kewangan dalam menguruskan perbelanjaan perkhidmatan dan penyelenggaraan berbanding pendapatan cukai tahun semasa.
-
Apakah tindakan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah tunggakan bayaran?
Berdasarkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Kerajaan Negeri telah mengarahkan agar sebuah pasukan audit dibentuk dengan kerjasama Bahagian Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Unit Kewangan Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan UPEN bagi membuat semakan di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pada 30 Mei 2011 hingga 2 Jun 2011. Hasil daripada penemuan audit tersebut, Kerajaan Negeri telah meminta supaya setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat merangka strategi bagi menyelesaikan masalah tunggakan hutang masing-masing.
-
Adakah pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) mempunyai keupyaan kewangan untuk menyelsaikan masalah tersebut?
Pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk membayar kerja-kerja pembersihan dan pengurusan sisa pepejal. Manakala Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) juga turut menyatakan bahawa pihak majlis tidak mempunyai keupayaan sumber kewangan bagi menyelesaikan hutang berkenaan. Walau bagaimanapun, pihak MDKS akan dapat menyelesaikan semua hutang berkenaan jika mendapat bantuan daripada Kerajaan Negeri.