Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
256) KONSESI PERJANJIAN AIR SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Selepas mengambil alih pengurusan air di Selangor, nyatakan kejayaan dan penambahbaikan yang telah dicapai.
Semenjak mengambil alih syarikat-syarikat konsesi air, bermula dengan Syarikat
Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (“SYABAS”) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (“PNSB”) pada 15 Oktober 2015, Air Selangor telah menjalankan pelbagai program transformasi selaras dengan matlamatnya untuk beroperasi dengan lebih cekap dan efisien.
Walaupun masih perlu mengoperasi empat syarikat konsesi air (selain daripada SYABAS dan PNSB, Air Selangor juga telah mengambil alih Konsortium ABASS Sdn Bhd dan Konsortium Air Selangor Sdn Bhd) secara berasingan, Air Selangor bukan sekadar mampu untuk mengekalkan standard perkhidmatan air, malahan mampu untuk mewujudkan suasana kerja yang lebih efektif dan harmoni. Pengenalan polisi-polisi baharu, pewujudan sistem perolehan yang lebih telus, penambahbaikan prosedur operasi standard dan pelbagai lagi inisiatif-inisiatif transformasi untuk meletakkan Air Selangor sebagai sebuah syarikat yang mampan dan berdaya saing.
Sekiranya dilihat dari sudut keberkesanan mutu perkhidmatan air, Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa tahap kecekapan dan mutu serta kualiti perkhidmatan akan sentiasa dipantau dan ditambah baik.
Contohnya, Kerajaan Negeri Selangor dan Air Selangor telah memulakan beberapa program utama termasuk penggantian paip-paip lama dan pembangunan dua loji rawatan air baharu, iaitu loji Labohan Dagang dan Semenyih 2, bagi tempoh 3 tahun yang akan datang.
Kesemua rancangan ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan Kerajaan
Negeri Selangor telah memperuntukkan modal melebihi RM1.3 bilion di bawah Belanjawan Negeri untuk 2017 bagi pembangunan dua loji rawatan air baharu dan kos penggantian paip-paip lama.
Bagi rancangan menaiktarafkan dan/atau penggantian paip air, sebanyak RM125 juta telah diperuntukkan bagi tahun 2016. Manakala, bermula daripada tahun 2017 sehingga 2019, projek yang dianggarkan berjumlah RM248.7 juta telah diluluskan untuk dilaksanakan mengikut rancangan Pelan Perniagaan Air Selangor 2017 – 2019.
Bagi menjamin kelancaran projek, Kerajaan Negeri telah meluluskan pinjaman sejumlah RM248.7 juta kepada Air Selangor bagi tujuan berkenaan. Projek tersebut akan melibatkan keseluruhan 61 hotspots yang telah dikenal pasti sebagai kawasan-kawasan yang paling kritikal berdasarkan kriteria-kriteria seperti berikut: –
- Kekerapan paip bocor/pecah
- Jumlah akaun/premis yang terlibat
- Impak penggantian bagi sesuatu kawasan
- Kos pemasangan paip baharu dan panjang paip
Jumlah 61 hotspots tersebut adalah baki daripada 84 hotspots, seperti yang telah di war-warkan sebelum ini, di mana kerja-kerja penambahbaikan/penggantian paip di 23 hotspots sebahagiannya telah pun dan baki masih sedang dilaksanakan mengikut peruntukan yang telah disediakan untuk tahun 2016.
Air Selangor juga telah mengambil langkah untuk memperkenalkan sistem khidmat pelanggan dan pengebilan yang baharu dijangka siap pada tahun 2018, yang akan dapat memanfaatkan lebih daripada 9 juta pengguna di seluruh negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Dari semasa ke semasa, Kerajaan Negeri atau melalui Air Selangor akan mengumumkan perkembangan terkini tentang pencapaian di dalam penyampaian perkhidmatan bekalan air yang terbaik, bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh rantau ini.
-
Bagaimana kerajaan menangani masalah NRW?. Terangkan.
Antara program yang dirancang dan dilaksanakan untuk mengurangkan kadar NRW adalah seperti berikut:
- Pengesanan kebocoran pada paip utama dan paip komunikasi.
- Pembentukan Kawasan Imbangan Air (Water Balance Area) dan Zon Pengurusan Tekanan Air.
- Penggantian paip utama dan komunikasi
- Penggantian meter air lama (melebihi 10 tahun)
- Zon Pemeteran Daerah (DMZ)
Semua kerja tersebut dijalankan secara dalaman (In-house)
-
Bagaimana dengan aset-aset berkaitan dengan air yang terdapat di Wilayah Persekutuan (luar Selangor)?
Semua aset air di Wilayah Persekutuan juga dikendalikan oleh Kumpulan Air Selangor selaras dengan peruntukan di bawah perjanjian konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), PNSB Water Sdn Bhd dan Konsortium ABASS. Ini diperkukuhkan lagi oleh Perjanjian Induk yang ditandatangani oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Aset Air Berhad dan Air Selangor yang mengesahkan bahawa Air Selangor adalah pengendali air tunggal di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.