Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
113) KONSEP PENDAPATAN GARIS KEMISKINAN
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor ditakrifkan sebagai pendapatan yang mencukupi untuk membeli keperluan minimum mengekalkan ahli-ahli isi rumah dalam memiliki kualiti hidup yang baik. Sejauh mana konsep ini telah diselaraskan dengan perancangan Kerajaan untuk menjadikan Selangor smart state dan rumah mampu milik?
Untuk makluman Y.Berhormat, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki atau menyewa rumah terutamanya kumpulan dalam kategori Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) agar dapat menikmati kehidupan yang selesa dan baik. Terdapat dua (2) kaedah atau pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sama ada melalui pembelian atau sewaan unit.
Kaedah pertama adalah melalui pembelian unit melibatkan Skim Rumah Selangorku, Skim Dana Sel, Skim Sewa Beli (Rent To Own) dan Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’ adalah seperti berikut:
- Skim Rumah Selangorku
Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah melaksanakan penawaran Rumah Selangorku kepada orang awam kepada golongan berpendapatan atau kategori B40 terutamanya projek Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B berharga RM42,000.00 seunit dan RM 100,000.00 seunit.
- Skim Dana Sel
Bagi kes golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan ini membeli Rumah Selangorku Jenis A. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat LPHS iaitu Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) menguruskan skim ini melalui kaedah pembiayaan yang merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan. Skim ini akan dipertimbangkan untuk diperluaskan lagi pada masa akan datang agar ianya dapat membantu lebih ramai golongan B40 untuk memiliki kediaman.
- Skim Sewa Beli (Rent To Own)
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang mengadakan cadangan berkerjasama beberapa pihak bank bagi mewujudkan satu skim sewa beli atau dikenali juga sebagai ‘Rent To Own’ khususnya untuk pembeli Rumah Selangorku di Negeri Selangor. Skim ini dapat membantu golongan B40 dan M40 yang berpendapatan isi rumah dibawah RM10,000.00 sebulan untuk memiliki kediaman Mampu Milik atau Rumah Selangorku.
Sehubungan dengan itu, perkara ini dalam proses rundingan dan perbincangan lanjut oleh Kerajaan Negeri bersama dengan pihak bank berkaitan sebelum kertas pertimbangan diangkat untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
- Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’
Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’ yang bertujuan memberikan pembiayaan wang pendahuluan (deposit) kepada golongan B40 dan M40 sebanyak 10% ke atas pembelian Rumah Selangorku khususnya pembangunan yang dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan projek anak syarikat PKNS sahaja. Kerajaan Negeri telah bersetuju menyediakan peruntukan sejumlah RM15 juta untuk skim ini yang akan diuruskan oleh PKNS.
Manakala kaedah kedua adalah sewaan melibatkan Skim Smart Sewa dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah seperti berikut ;
- Skim Smart Sewa
Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa dengan matlamat utama adalah bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran. Mereka ini akan diberi tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama 2 tahun dan maksima selama 5 tahun.
Penyewa akan mendapat pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun. Dengan pengembalian sebanyak 30 peratus wang sewaan bersih kepada pemohon maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang. Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit dengan pemohon memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan
Pembelian sebanyak 799 unit rumah mampu milik telah dilaksanakan di bawah Skim Smart Sewa oleh LPHS di mana Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi melancarkan pelaksanaan skim ini. Sehingga kini, 562 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450.00 sebulan sehingga RM900.00 sebulan. Manakala sebanyak 117 unit telah siap dan telah dibuat / sedang dalam proses penyerahan unit kepada LPHS manakala baki sebanyak 120 unit masih lagi dalam pembinaan di tapak.
- Skim Projek Perumahan Rakyat (PPR)
Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Skim Perumahan untuk disewakan sahaja kepada mereka yang berpendapatan seisi keluarga kurang dari RM3,000.00 sebulan. Kadar sewaan yang dikenakan kepada penyewa pada harga sewaan RM 124.00 sehingga RM250.00 sebulan berbanding kadar sewaan pasaran semasa sekitar RM400.00 sehingga RM650.00 sebulan. Secara langsung, ianya membantu golongan ini untuk mendapat manfaat daripada kadar sewaan yang rendah dan lebihan pendapatan mereka boleh digunakan sebagai simpanan sehingga mereka berkemampuan untuk tujuan pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang.
Berikut adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ditawarkan kepada orang awam seperti berikut :
BIL LOKASI BIL. UNIT BIL PENGHUNI BAKI UNIT KOSONG PENGENDALI PENGURUSAN 1. PPR Hicom 980 980 0 LPHS PHSSB 2. PPR Serendah 300 125 175 LPHS PHSSB 3. PPR Kota Damansara 1,152 1152 0 MBPJ PHSSB JUMLAH 2,432 2,257 175 Di samping program sewaan, Kerajaan Negeri melalui LPHS juga bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam mewar-warkan modul pendidikan berkaitan perumahan di atas talian AKPK iaitu RUMAHKU untuk keperluan orang awam. Secara langsung, ianya membantu bakal pembeli rumah terutamanya dibawah kategori Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) untuk mendapatkan panduan dan maklumat yang berguna tentang pemilikan rumah sebelum pembelian dibuat.
AKPK juga membantu mereka yang menghadapi masalah kegagalan mendapatkan pinjaman perumahan dengan melayari laman sesawang AKPK di bawah MyKNP bagi mengenalpasti punca dan masalah kegagalan pemohon mendapatkan pinjaman perumahan. Daripada itu, AKPK akan memberikan bantuan secara percuma dari segi penstrukturan semula pembiayaan/ pinjaman pemohon sedia ada ke arah pengurusan kewangan yang lebih bijak dan stabil. Akhirnya, ianya dapat membantu pemohon untuk mendapatkan pembiayaan perumahan pada masa akan datang.