Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019
39) KOMUNITI SELANGOR
Tahun: 2019
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini program latihan hos komuniti selangor ?
Program latihan Hos Komuniti Setempat yang dianjurkan oleh Tourism Selangor sejak tahun 2018 adalah program latihan yang pertama seumpamanya di Malaysia. Program ini bertujuan melahirkan pemandu pelancong setempat yang mampu menjadi ‘Community Champion’ untuk mengenal pasti, mempelopori dan menggerakkan pelancongan budaya yang berasaskan komuniti (“community based cultural tourism”).
Bagi memastikan kejayaan kursus ini, Tourism Selangor telah berkerjasama dengan dua agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya. Kerjasama dengan dua agensi ini telah memastikan kursus ini dilaksanakan selari kursus Pemandu Pelancong Bandar (Lencana Biru) dan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi (Lencana Hijau).
Standard dan kurikulum kursus ini telah dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran dengan mengikut dan mematuhi Kerangka Persijilan Kemahiran Malaysia. Standard dan kurikulum kursus ini telah digazetkan oleh Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan pada bulan Mei 2018. Bagi tujuan pelesenan pula, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya telah bersetuju untuk mengeluarkan lesen pemandu pelancong setempat di bawah Akta Pelancongan 1992 dengan mewujudkan satu kategori baru hos komuniti setempat iaitu lencana merah.
Bagi tujuan mengenalpasti peserta kursus, Tourism Selangor telah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan, khususnya dengan ahli-ahli Majlis. Ini akan dimulakan dengan taklimat kepada Mesyuarat Majlis dan diikuti dengan ahli-ahli Majlis menghantar nama-nama calon kepada bahagian yang bertanggungjawab di Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan. Temuduga calon dilaksanakan oleh Tourism Selangor.
Untuk tahun 2018, sebanyak 21 orang pemandu pelancong telah berjaya mengikuti kursus latihan dengan jayanya daripada 3 Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat iaitu, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam.
Bagi tahun 2019, sebanyak 30 orang peserta sedang menjalani latihan yang akan menamatkan sesi latihan pada suku tahun keempat 2019, daripada 3 Pihak Berkuasa Tempatan yang terlibat iaitu Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Daerah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Kuala Langat.
-
Nyatakan jumlah yang telah digunakan sehingga kini.
Sebanyak RM375,000.00 (Ringgit Malaysia, Tiga Ratus Tujuh Puluh Lima Ribu Sahaja) telah dibelanja dan diperuntukkan bagi Program Pembangunan Modul dan Latihan “Hos Komuniti Selangor” Pemandu Pelancong Setempat 2019 untuk 3 buah PBT dalam jangka masa 9 bulan, mengikut pecahan seperti berikut:-
BIL JENIS KOS
JUMLAH KOS a) Kos Yuran Pengajian dan Latihan 106,150.00 b) Kos Makan/Minum, Penginapan dan Logistik 91,200.00 c) Penghasilan Peta Budaya 39,600.00 d) Insentif Kepada Peserta 40,000.00 e) Perbincangan Pemegang Taruh 4,800.00 f) Logistik Urusetia 3,000.00 g) Majlis Graduasi & Penganugerahan Sijil 60,250.00 h) Pembangunan & Pemasaran Pakej Hos Komuniti Selangor 30,000.00 JUMLAH KESELURUHAN
RM375,000.00