Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

182) KOMPLEKS STADIUM SHAH ALAM

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah sebarang kemajuan dalam cadangan perlaksanaan pembangunan semula Stadium Shah Alam dan fasiliti serta kawasan sekitarnya?

    Unit Projek Khas

    Sejak 2019 hingga 2021 Kerajaan Negeri telah menerima banyak kertas cadangan daripada pemain industri berkenaan baikpulih/pembangunan semula stadium melalui pelbagai agensi seperti DEFM, MBI dan SUK. Pada tahun 2020 Kerajaan Negeri melalui MBI telah menubuhkan jawatankuasa khas dinamakan sebagai “Unit Projek Khas” (UPK) yang diketuai Datuk Ir. Ruslan bin Abdul Aziz mantan Pengarah JKR Selangor, bagi mengkaji kertas-kertas cadangan tersebut dan pada masa yang sama mengkaji status kerosakan terkini KSSA. UPK juga bertanggungjawab mengkaji bentuk baikpulih yang bersesuaian dengan mengambil kira ancaman banjir, teknologi terkini, sistem utiliti yang lebih efisien, kos efektif dan keperluan pemegang-pemegang taruh seperti MSN, FAS serta Kerajaan Negeri.

    Berdasarkan kertas-kertas kerja yang telah dikaji, beberapa syarikat/konsortium telah disenarai pendek dan beberapa siri pembentangan telah pun dijalankan bagi memastikan proses pemilihan adalah telus dan adil. Hasil penilaian tersebut, UPK dan Kerajaan Negeri berminat untuk menjalankan kerjasama Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam bersama-sama syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Kerajaan Negeri telah mengeluarkan Surat Niat kepada MRCB pada 15 Julai 2022 sebagai langkah permulaan kerjasama tersebut. Pemilihan MRCB dibuat berdasarkan beberapa faktor penting seperti pengalaman dalam projek naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil, kedudukan kewangan yang kukuh serta pemilikan saham MRCB oleh KWSP yang sekaligus dapat menyumbang kembali keuntungan kepada pencarum/rakyat.

    Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA)

    Pada 15 Julai 2022, Dato’ Seri Menteri Besar Selangor telah mengumumkan garis masa rancangan pembangunan KSSA. Bentuk pembangunan akan dibentangkan pada September 2022 setelah perbincangan dengan semua pemegang taruh yang berkaitan selesai antaranya, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), MBSA, Pejabat Tanah dan Galian(PTG), Selangor FC, DEFM dan Kerajaan Negeri sendiri. Pada peringkat ini, input dari setiap pemegang taruh akan dijadikan komponen kepada pembangunan KSSA bagi memastikan projek ini dapat memberi manfaat kepada pembangunan sukan Selangor, bola sepak Selangor dan komuniti.

    Projek pembangunan dijangka akan bermula paka suku pertama 2023 dan siap sepenuhnya pada tahun 2026. Ini bermakna rakyat Selangor akan mendapat kemudahan Kompleks Sukan Shah Alam yang baru menjelang 2026.

  2. Berapakah anggaran kos pembiayaan sebenar secara terperinci dan menyeluruh bagi cadangan tersebut?

    Kos Baikpulih 2013 vs 2022

    Pada tahun 2013, JKR Selangor telah membuat audit kerosakan Kompleks Sukan Shah Alam(KSSA) dari segi struktur, keselamatan, kefungsian dan kosmetik. Laporan tersebut menganggarkan jumlah kos yang diperlukan untuk baikpulih semua kerosakan yang ditemui berjumlah hampir RM350 juta. Penilaian tersebut adalah pada tahun 2013. Dengan mengambil kira peningkatan kos tenaga kerja dan bahan sehingga tahun 2022, kos terkini dianggarkan sekitar RM787 juta. Walaubagaimanapun kerajaan Negeri akan mengkaji dari perspektif kos efektif samada baikpulih atau pembangunan semula yang lebih bersesuaian dan menjimatkan.

  3. Adakah proses pembiayaan itu bersumberkan dari Kerajaan Negeri ataupun dari pihak lain?

    Pembiayaan Pembangunan KSSA

    Perancangan pembangunan KSSA dianggarkan menelan belanja maksimum sekitar RM787 juta. Kos ini bergantung kepada bentuk baikpulih atau pembangunan yang bakal diputuskan. Walaubagaimanapun Kerajaan Negeri tidak dibebankan dengan kos pembangunan ini kerana pembiayaan pembangunan ini akan dilaksanakan secara “Smart Private Partnership” dengan pemaju yang dilantik kelak.

Lampiran

Tiada Lampiran.