Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

258) KOMPLEKS RAKAN MUDA

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejak bilakah Kompleks Rakan Muda Daerah Klang telah tidak beroperasi?

    Kompleks Rakan Muda Klang tidak beroperasi adalah disebabkan kerja-kerja menaiktaraf yang bermula pada 11 Mac 2020 hingga 3 Jun 2021 oleh Syarikat Total Score Sdn Bhd. di bawah peruntukan Pembangunan RMK 11 yang berjumlah RM3,531,828.00. Walaubagaimana pun syarikat yang dilantik oleh Kementerian Belia Dan Sukan tidak dapat melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf tersebut pada tarikh yang ditetapkan di dalam kontrak kerana pada masa yang sama berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun tersebut. Syarikat berkenaan pernah memohon penambahan tempoh kerja menaiktaraf dilanjutkan kepada 84 hari daripada tarikh tamat perjanjian iaitu 3 Jun 2021. Namun selepas kelulusan tempoh kerja yang diluluskan syarikat masih gagal untuk menyiapkan kerja-kerja menaiktaraf tersebut atas faktor pemendapan tanah di Kompleks Rakan Muda Klang. Kerja-kerja menaiktaraf telah ditamatkan pada 27 Ogos 2021.

     

    Sehubungan dengan itu, isu pemendapan tanah ini telah dipanjangkan kepada Bahagian Pembangunan Belia Dan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan. Kerja-kerja menaiktaraf yang diluluskan adalah kerja-kerja di dewan makan, dewan utama, blok asrama, surau, pejabat pentadbiran, gelanggang futsal, rumah sampah, rumah tangki air/pam/kumbahan dan kerja-kerja elektrik serta kerja-kerja perpaipan. Maka Kompleks Rakan Muda Klang mula ditutup pada 12 Mac 2020 kerana kerja-kerja menaiktaraf gagal dilaksanakan dan isu pemendapan tanah yang serius.

  2. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk membuka semula Kompleks Rakan Muda bagi mengelakkan menjadi Projek Gajah Putih? Mohon perincian perancangan tersebut.

    Perancangan membuka semula Kompleks Rakan Muda adalah merupakan hasrat Kerajaan Negeri kerana di Kompleks ini terdapat kemudahan-kemudahan aktiviti-aktiviti Rakan Muda  seperti gelanggang futsal, dewan serbaguna, wall climbing dan asrama. Kemudahan-kemudahan fasiliti ini tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja menaiktaraf dan pemasalahan pemendapan tanah yang serius di Kompleks Rakan Muda yang telah lama terbengkalai.

    i) Pihak JBS Negeri Selangor juga telah mendapat anggaran kos pembaikan daripada JKR Negeri Selangor yang dianggarkan berjumlah RM 3,650,000.00 setelah membuat pemeriksaan pemendapan tanah struktur bangunan Kompleks Rakan Muda Klang, Selangor oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

    ii) Semua perancangan akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi kerja-kerja pembaikan semula pemendapan tanah struktur bangunan Kompleks Rakan Muda.

Lampiran

Tiada Lampiran.