Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

222) KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: hal ehwal islam

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah semua sistem operasi mahkamah telah berfungsi dengan baik?

    Sistem operasi pengurusan dan perbicaraan kes Mahkamah Syariah Selangor secara umumnya masih dapat berjalan seperti biasa. Namun, Mahkamah Syariah Selangor sedang berhadapan dengan masalah kekurangan jawatan Hakim dan kakitangan sokongan yang serius kerana peningkatan pendaftaran kes pada setiap tahun. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan sebanyak 60 jawatan kontrak tambahan bagi membantu mengurangkan masalah kekurangan perjawatan tersebut. Namun, dengan peningkatan jumlah pendaftaran kes yang tinggi, jumlah pertambahan jawatan tersebut masih tidak dapat menampung jumlah kes yang didaftarkan. Bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah mengemukakan permohonan baharu bagi pertambahan jawatan kontrak sebanyak 64

    Selain itu, gred jawatan hakim dan beberapa jawatan penting di Mahkamah Syariah Selangor juga adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan beban kerja dan kompleksiti tugas yang terpaksa ditanggung dan jika dibandingkan dengan gred jawatan yang sama bagi Mahkamah Syariah beberapa Negeri lain seperti Wilayah Persekutuan, Perak dan Terengganu. JAKESS tidak dapat membuat permohonan untuk menaik taraf semua jawatan kerana pada masa ini kerajaan masih mengekalkan dasar trade off bagi pelaksanaan sebarang cadangan untuk pertambahan jawatan tetap atau cadangan untuk menaik taraf jawatan sedia ada. Dasar trade off bermaksud, menukar ganti jawatan sedia ada bagi tujuan pewujudan jawatan baru atau naik taraf perjawatan sedia ada.

    Bagi sistem operasi yang melibatkan infrastruktur bangunan, pada masa ini, semua bangunan baru Mahkamah Syariah Selangor sedang berhadapan dengan isu kerosakan yang melibatkan kefungsian dan keselamatan. Masalah ini disebabkan oleh kualiti pembinaan yang rendah.

  2. Berapakah anggaran kos penyelenggaraan dan adakah syarikat pembinaan masih berperanan?

    Untuk pengetahuan ahli YB, Bangunan Mahkamah Syariah di Negeri Selangor telah dibina oleh pihak Amanah Raya Berhad (ARB) berkonsepkan dengan izin Build-Lease-Transfer (BLT). Menerusi konsep ini, semua kos pembinaan ditanggung oleh ARB dan premis-premis berkenaan disewakan kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh 20 tahun, yang mana sebahagiannya bermula pada tahun 2011. Apabila tamat tempoh pajakan kelak, premis-premis tersebut akan diserah sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri. Meskipun begitu, ARB telah gagal untuk menyempurnakan tanggungjawab mereka untuk membaiki semua kerosakan yang berada di bawah tanggungjawab mereka. Keadaan ini menyebabkan ketidakselesaan dan suasana yang tidak kondusif kepada warga kerja dan pelanggan Mahkamah Syariah Selangor.

    Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri terpaksa memperuntukkan kos penyelenggaraan untuk semua bangunan Mahkamah Syariah sebanyak RM452,000.00 bagi tahun 2018 sedangkan Kerajaan Negeri juga membayar kos sewaan sebanyak RM1,384,126.98 sebulan untuk lapan buah mahkamah.

Lampiran

Tiada Lampiran.