Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

51) KOMPETENSI PENGERUSI DAN AHLI-AHLI JKKK

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah Pengerusi dan Ahli JKKK di seluruh Selangor?

    Jumlah Pengerusi dan Ahli JKKK di seluruh Selangor pada masa ini dianggarkan seramai 4,885 orang. JKKK di setiap kampung terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Setiausaha, seorang Bendahari dan ahli-ahli yang lain. Pada dasarnya, jumlah keanggotaan JKKK hendaklah mengandungi sekurang- kurangnya lima (5) orang dan tidak melebihi lima belas (15) orang yang mewakili semua lapisan masyarakat. Komposisi JKKK hendaklah mengandungi perwakilan seperti berikut:

    • Nazir Masjid atau Pengerusi Surau – 1 Orang
    • Wakil Wanita – 1 Orang
    • Wakil Belia – 1 Orang

     

  2. Apakah tugas-tugas utama Pengerusi dan Ahli-ahli JKKK?

    Tugas-tugas utama Pengerusi adalah mempengerusikan mesyuarat JKKK, bertanggungjawab menentukan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan juga keselamatan kampung dari semasa ke semasa, bertangggungjawab menentukan segala program dan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan oleh kerajaan berjalan lancar dan sempurna, menjadi penolong penasihat (mengikut mana- mana tatacara dan kaedah yang berkaitan) kepada badan sukarela lain yang ada di dalam kampung seperti Jawatankuasa Masjid/ Surau, Persatuan Belia dan Perkumpulan Wanita.

    Tugas-tugas Setiausaha pula ialah memanggil mesyuarat JKKK apabila diperlukan atas arahan Pengerusi, menjadi setiausaha mesyuarat JKKK, bertanggungjawab menyedia dan mengedarkan minit mesyuarat JKKK, bertanggungjawab menyedia dan mengedarkan minit mesyuarat JKKK serta melaksanakan lain-lain tugas yang diarahkan oleh Pengerusi JKKK.

    Tugas-tugas ahli JKKK yang lain adalah memberi pandangan dan pendapat membina dengan jelas, sentiasa bersedia menerima dan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab termasuk juga mengetuai biro-biro yang ditubuhkan, menghormati pengerusi dan ahli-ahli lain serta keputusan yang diambil, mendapatkan maklumat-maklumat kampung dan memaklumkan kepada Pengerusi dan ahli-ahli lain, melaksanakan tugas-tugas yang diberi oleh Pengerusi atau yang diputuskan di dalam mesyuarat JKKK serta menyimpan RAHSIA mesyuarat.

  3. Apakah rancangan kerajaan dalam memberi latihan agar Pengerusi dan Ahli-ahli JKKK mampu menguasai serta menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada orang ramai?

    Rancangan Kerajaan Negeri dalam memberi latihan agar Pengerusi dan Ahli-ahli JKKK mampu menguasai serta menerangkan dasar-dasar kerajaan kepada orang ramai ialah dengan melaksanakan kursus-kursus dan seminar yang berkaitan iaitu Kursus Penyediaan Minit Mesyuarat Ketua Kampung, Seminar Pemantapan JKKK, Bengkel Kenali Kampungku, Program Sasaran Kerja Tahunan dan sebagainya. Selain itu, Kerajaan Negeri juga menganjurkan Program Ramah Mesra antara YB EXCO bersama-sama Penghulu dan Ketua Kampung bagi memaklumkan tentang dasar-dasar dan program baru Kerajaan untuk disampaikan dan dihebahkan kepada orang-orang kampung.

Lampiran

Tiada Lampiran.