Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
90) KOMPAKTOR SAMPAH
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Kompaktor sampah KDEB semakin berusia dan didapat kotor dan leachate juga mengalir ke atas jalan. Apakah tindakan yang akan dilakukan?
KDEB Waste Management mengakui bahawa terdapat lori-lori yang sudah semakin berusia khususnya lori-lori yang dibeli pada tahun 2016 ketika mula beroperasi di Klang. Walaubagaimanapun, sebilangan besar lori-lori ini masih dalam keadaan yang baik kerana diselenggara secara berkala oleh pihak sub-kontraktor.
Selain dari faktor keculasan pihak sub-kontraktor yang tidak membasuh lori-lori mereka, keadaan permukaan jalan di kawasan tapak pelupusan yang tidak berturap dan berdebu juga menjadi punca lori-lori tersebut menjadi kotor. Keadaan ini menjadi semakin teruk pada musim hujan kerana permukaan jalan yang becak menyebabkan tayar lori terpalit dengan lumpur.
Pengendali tapak pelupusan telah diminta untuk memperbaiki keadaan jalan di dalam kawasan tapak pelupusan selain dari menyediakan kemudahan laluan khas bagi membersihkan tayar lori-lori kompaktor ini sebelum keluar dari tapak pelupusan sampah. Selain dari itu, sub-kontraktor yang dilantik oleh KDEB Waste Management juga telah diminta untuk memastikan lori-lori mereka sentiasa dalam keadaan yang bersih.
KDEB Waste Management juga telah mengambil inisiatif dengan menguruskan proses untuk mengecat semula lori-lori kompaktor yang telah pudar dan lusuh secara berperingkat di kawasan Klang bagi memastikan lori tersebut kelihatan baru dan rapi.
Berkenaan dengan tumpahan air leachate, keadaan ini berlaku kerana hakisan pada bahagian tailgate hasil daripada tindak balas kimia air leachate yang bersifat acidic dan menyebabkan tangki leachate lori tersebut bocor. KDEB Waste Management telah menjadi pemudahcara dengan melantik bengkel-bengkel panel bagi memudahkan pihak sub-kontraktor untuk membaiki bahagian tailgate dan leachate tank mereka yang bocor. Sub-kontraktor juga telah diminta untuk membersihkan bahagian tailgate mereka setiap kali selesai beroperasi bagi memanjangkan jangka hayat komponen di bahagian tersebut dan mengelakkannya daripada bocor.
-
Kompaktor sampah juga dilihat mengangkut bilangan barangan kitar semula yang besar diatas kenderaan dan pekerja juga mencari barang tersebut semasa menjalankan kerja kutipan. Adakah ini SOP yang dibenarkan?
Pekerja-pekerja kutipan sisa pepejal domestik menjadikan barang kitar semula sebagai sumber pendapatan tambahan mereka. Ini adalah punca mengapa terdapat banyak plastik yang mengandungi bahan-bahan kitar semula dikumpulkan di atas lori KDEB Waste Management. Sekiranya aktiviti ini dilarang secara total, pekerja-pekerja ini akan mogok dan ini sudah pasti akan menjejaskan operasi kutipan.
Aktiviti pengasingan bahan kitar semula semasa operasi kutipan sedang berjalan ini hanya boleh dilakukan dengan syarat ianya tidak menggangu operasi dan jadual kutipan harian. Selain dari itu, bilangan bahan kitar semula yang diletakkan di atas lori kompaktor juga perlu dihadkan bagi mengelakkan bahan-bahan tersebut jatuh dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Terdapat sebilangan sub-kontraktor yang mengambil tindakan pro-aktif dengan memasang jaring bagi memastikan bahan-bahan kitar semula di atas lori tersebut tidak jatuh.
Secara umumnya, aktiviti kitar semula semasa operasi kutipan sedang berjalan ini dilakukan melalui budi bicara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga KDEB Waste Management. Walaubagaimanapun, aktiviti ini perlu juga dilihat secara positif kerana ia mampu untuk meningkatkan lagi kadar kitar semula selain dari mengelakkan bahan-bahan kitar semula ini dibuang begitu sahaja di tapak pelupusan. Aktiviti kitar semula yang dibuat oleh pekerja-pekerja kutipan sisa pepejal domestik ini juga perlu dikaji dengan lebih mendalam kerana ia mungkin menjadi solusi alternatif terbaik bagi menyelesaikan isu kadar pengasingan di punca dan kitar semula yang masih rendah di negara kita. KDEB Waste Management akan mengkaji langkah terbaik bagi memastikan aktiviti kitar semula oleh pekerja kutipan sisa pepejal domestik ini dapat dilakukan tanpa menjejaskan operasi dan jadual kutipan harian. KDEB Waste Management tidak akan teragak – agak untuk mengambil tindakan yang tegas dengan mengeluarkan Notis Tindakan Pembetulan (NTP) kepada mana-mana sub-kontraktor yang gagal menyempurnakan jadual kutipan harian kerana sibuk melakukan aktiviti pengasingan bahan kitar semula semasa operasi kutipan sedang berjalan. Pendirian KDEB Waste Management berkenaan perkara ini adalah jelas iaitu operasi dan jadual kutipan harian perlu menjadi keutamaan berbanding aktiviti kitar semula.