Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

35) KOLAM TAKUNGAN DUN RAWANG

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perkembangan terkini berkenaan Projek NaikTaraf Kolam Takungan Dwi Fungsi Sungai Gong?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) telah melaksanakan Projek Menaiktaraf Sungai Gong dan Pembinaan Kolam Takungan Banjir serta Kerja-kerja Berkaitan Fasa 1 di Mukim Rawang Daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan menggunakan peruntukan Akaun Amanah Caruman Parit (CP). Projek tersebut telah bermula pada 9 Disember 2015 dengan dan telah siap pada 31 Disember 2021. Kolam ini berfungsi sebagai kolam offline bagi menampung kadar aliran sungai dari Sungai Gong. Maklumat projek yang dilaksanakan oleh JPS adalah seperti berikut:-

     

    Bil. Perincian Catatan
    1. Nama Projek Projek Menaiktaraf Sungai Gong dan Pembinaan Kolam Takungan Banjir serta Kerja-kerja Berkaitan Fasa 1 di Mukim Rawang Daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan
    2. No. Kontrak JPS/N/SEL/SG/22/2015 (CP)
    3. Status Tender Asal Terbuka
    4. Kelas Kontraktor G5
    5. Nama Kontraktor Refined Contour Sdn. Bhd.
    6. Harga Kontrak Asal RM7,641,329.00
    7. Harga Kontrak Semasa RM7,773,416.00
    8. Tarikh Milik Tapak 9 Disember 2015
    9. Tarikh Siap Asal 7 Jun 2017
    10. EOT 1 5 Jun 2019
    11. Perakuan Siap Kerja (CPC) 31 Disember 2021

     

    Namun demikian, kejadian pencemaran air Sungai Gong yang berlaku pada bulan November 2020 telah mengubah fungsi kolam tersebut. Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) telah mengambil alih Kolam Takungan Banjir Sungai Gong untuk dijadikan sebagai kolam dwifungsi iaitu mengawal kualiti air serta kuantiti air untuk tebatan banjir dengan kolam online.

  2. Kenapa kolam takungan Sungai Gong kini tidak diselenggara dengan baik bagi memastikan kolam takungan berfungsi dengan sempurna?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 43/2020 yang bermesyuarat  pada 16 Disember 2020 telah menimbangkan dan meluluskan secara dasar agar Syarikat RE Builder Sdn. Bhd. dilantik sebagai operator kepada Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) untuk melaksanakan kerja-kerja mendalamkan, menyelenggara dan menambah baik Kolam Sungai Gong tertakluk kepada persetujuan terhadap syarat dan terma yang akan diperincikan antara Syarikat RE Builder Sdn. Bhd. dan  KSSB tanpa melibatkan sebarang kos dari Kerajaan Negeri.

     

    Melalui surat bertarikh 16 Disember 2022, KSSB memaklumkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bahawa RE Builders Sdn. Bhd. telah memaklumkan KSSB akan kerja-kerja penyelenggaraan kolam tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan asal atas sebab-sebab berikut:-

     

    1. kualiti pasir hasil dari kerja-kerja mendalamkan, menyelenggara dan menambah baik Kolam Sungai Gong adalah terlalu halus serta tidak menepati spesifikasi pasaran;
    2. rizab pasir adalah terhad berbanding anggaran yang dibuat dahulu hinggakan tidak dapat menampung kos kerja di tapak berdasarkan kepada rekabentuk dan spesifikasi kolam; dan
    3. berikutan dari kerja-kerja menaiktaraf jalan yang dilaksanakan oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR), aliran air tidak lagi masuk ke dalam saliran semulajadi kolam kerana laluan saliran yang dibina oleh JKR lebih rendah dari paras kemasukan air ke kolam dan ini menyebabkan kolam menjadi kering.

     

    Kerja-kerja mendalamkan, menyelenggara dan menambah baik Kolam Takungan Sungai Gong, Mukim Rawang, Daerah Gombak tidak dapat dilaksanakan mengikut perancangan asal berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:-

     

    1. RE Builders Sdn. Bhd., iaitu kontraktor di tapak mendapati tidak ada cukup pasir untuk dijadikan hasil sebagai bayaran kontra ke atas kerja-kerja yang dijalankan di tapak;
    2. Keadaan Kolam Sungai Gong semakin kering berikutan dari kerja-kerja menaiktaraf jalan yang dilaksanakan oleh JKR menyebabkan fungsi kerja-kerja penyelengaraan Kolam Sungai Gong telah tidak dapat dilaksanakan lagi.

    Susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang dipengerusikan Y.B. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam pada 19 Januari 2023 telah dipersetujui supaya kerja-kerja penyelenggaraan Kolam Takungan Sungai Gong diserahkan kembali kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS).

     

    Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) akan membentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kertas Cadangan Kerja Penyelenggaraan Kolam Takungan Sungai Gong diserahkan kembali kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) dalam masa terdekat.

  3. Apakah status kini pembinaan projek kolam takungan baru di Rawang Integrated Industry Park?

    Status terkini pembinaan projek kolam takungan baru di Rawang Integrated Industry Park dan maklumat projek tersebut adalah seperti berikut:-

     

    Bil. Nama Projek Skop Kos Projek (RM) Status
    1. Projek Membina Kolam Takungan Banjir di “Rawang Integrated” Bagi Mengatasi Masalah Banjir di Sungai Gong, Mukim Rawang, Selangor

     

    1. Naiktaraf sistem saliran dan sungai
    2. Naiktaraf kolam takungan banjiir
    3. Pelebaran sungai
    15,000,000.00 JPS Negeri Selangor telah melantik perunding bagi menjalankan kerja reka bentuk terperinci.

     

    Status sehingga 28 Februari 2023 adalah di peringkat laporan akhir dan dijangka iklan pada sukuan kedua tahun 2023.

Lampiran

Tiada Lampiran.