Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
89) KOLAM TAKUNGAN AIR YANG PECAH DI TAMAN SERI ALAM
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah punca-punca kolam takungan air ini pecah?
Untuk makluman Yang Berhormat, kolam takungan yang pecah di Taman Seri Alam pada 29 Disember 2024 adalah disebabkan oleh kapasiti kolam yang tidak mencukupi akibat taburan hujan yang tinggi dengan bacaan keamatan sebanyak 61.0mm yang direkodkan di Stesen Hujan Saujana Aman. Taburan hujan yang tinggi menyebabkan longkang utama di perumahan Taman Seri Alam yang memasuki kolam takungan menerima air larian daripada kawasan Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Selangor dan kawasan perumahan HillPark.
Aras air Sungai Buloh juga menunjukkan ketinggian pada aras berjaga-jaga, iaitu 6.86m. Berikutan itu, benteng di kolam takungan air telah pecah dan air melimpah di keseluruhan Taman Seri Alam pada paras satu kaki.
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan kejadian seperti ini tidak akan berulang?
Sebagai langkah penyelesaian, Tetuan Hillpark Resources Sdn. Bhd. selaku pemaju yang bertanggungjawab telah mengambil tindakan segera antaranya ialah:-
- Melantik pihak kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera di lokasi kejadian.
- Mengatur-gerak pam bergerak.
- Memasang steel sheet pile di kawasan tebing kolam takungan air yang mengalami kerosakan sebagai struktur sementara sebelum pembinaan semula struktur di sepanjang tebing kolam menggunakan Reinforced Concrete Wall.
Bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang, Kerajaan Negeri akan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan yang merangkumi pemantauan yang lebih ketat terhadap pematuhan garis panduan pembangunan serta penerapan sistem saliran yang lebih lestari bagi mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh dan mampan.
-
Berapakah jumlah pampasan yang dibayar oleh pihak pemaju kepada penduduk akibat kolam takungan pecah?
Untuk makluman Yang Berhormat, Tetuan Hillpark Resources Sdn. Bhd. selaku pemaju akan membayar wang pampasan sebanyak RM1,500.00 kepada setiap keluarga yang terlibat dengan insiden kolam takungan pecah. Dianggarkan sebanyak 193 buah rumah yang terlibat akan menerima bayaran pampasan tersebut. Jumlah pampasan adalah dianggarkan sebanyak RM289,500.00.