Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

103) KLINIK KESIHATAN PULAU KETAM

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri dapat membantu untuk memperbaiki bangunan klinik kesihatan Pulau Ketam yang di bawah selian Kerajaan Negeri memandangkan klinik sediada ini tidak digunakan?

    Klinik Kesihatan (KK) Pulau Ketam mula beroperasi sebagai Rumah Bidan pada tahun 1960. Klinik ini telah dinaiktaraf secara berperingkat kepada Pusat Kesihatan Kecil pada tahun 1966 dan mula beroperasi sebagai KK pada tahun 1994.  Selain KK Pulau Ketam, terdapat dua (2) buah Klinik Desa (KD) di pulau tersebut, iaitu KD Sungai Lima dan KD Bagan Teochew yang masing-masing telah dibina pada tahun 1973 dan tahun 1970, di atas tanah dengan keluasan 0.10116 hektar dan 0.08093 hektar. Usia ketiga-tiga fasiliti kesihatan ini yang telah melebihi/ hampir 50 tahun. Lokasi kesemua klinik yang terletak di kawasan air pasang surut telah mengakibatkan kerosakan teruk kepada struktur asas dan bangunan klinik. Pada tahun 2018, pihak Jabatan Kerja Raya telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas KK Pulau Ketam dan telah dilaporkan tidak selamat serta disyorkan untuk roboh. Pada 26 Disember 2018, pihak pengurusan PKD Klang dengan persetujuan pihak Jabatan Kesihatan Negeri dan Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM telah menutup perkhidmatan kesihatan di ketiga-tiga fasiliti kesihatan tersebut atas faktor keselamatan. Pada masa ini perkhidmatan kesihatan bagi penduduk Pulau Ketam disediakan di bangunan Pusat Rukun Tetangga Pulau Ketam dengan purata kedatangan sekitar 45 pesakit/ sehari. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Klang telah membuat permohonan peruntukan bermula pada tahun 2014 bagi kerja-kerja pembaikan dan naik taraf, seterusnya diikuti dengan permohonan roboh bina baru klinik melalui RMK-10 dan RMK-11 berikutan laporan pihak JKR Maritim pada tahun 2016 yang menyatakan struktur bangunan kuarters dan klinik tidak selamat untuk beroperasi. Pada tahun 2018, pihak JKR Maritim telah menganggarkan permohonan peruntukan bagi roboh dan bina baru untuk keseluruhan bangunan kuarters dan klinik adalah sebanyak RM82,900,000,000. Pada tahun 2022, pihak PKD melalui JKN Selangor telah menghantar semula permohonan peruntukan bagi roboh dan bina baru sebahagian kuarters dan klinik ke Bahagian Pembangunan, KKM bernilai RM31,500,000.00. Buat masa ini, tiada sebarang keputusan muktamad telah dibuat berhubung perkara ini. Susulan kos yang diperlukan adalah terlalu besar berbanding jumlah kedatangan harian pesakit yang dikendalikannya.

Lampiran

Tiada Lampiran.