Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

370) KLINIK KESIHATAN DAN HOSPITAL

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Rafiq Bin Mohd Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Situasi Kesesakan di Klinik Kesihatan dan kekurangan katil dihospital awam dan swasta akibat peningkatan jumlah penduduk amat membimbangkan terutama sewaktu kejadian penyakit berjangkit dan wabak. Apakah perancangan Kerajaan terutamanya untuk Kawasan Kuang dan Selayang untuk mengatasi masalah tersebut?

    Untuk makluman Tuan Yang di Pertua, bagi kawasan Kuang, Klinik Kesihatan Kuang telah menerima peruntukan pembangunan pada tahun 2023 sebanyak RM430,000.00 untuk pembinaan blok baharu farmasi dan makmal. Ruang farmasi dan makmal yang lama telah diubahsuai menjadi ruang menunggu pesakit.

    Bagi kawasan Selayang pula, terdapat projek baharu yang sedang berjalan untuk membina Klinik Kesihatan Bandar Baru Selayang yang diubah suai daripada lot kedai, dengan kos projek sebanyak RM14 juta. Klinik ini dijangka mula beroperasi pada bulan Jun 2025. Pembukaan Klinik Kesihatan Bandar Baru Selayang ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Selayang Baru.

    Terdapat perancangan pembinaan blok baharu di Hospital Selayang untuk meningkatkan kapasiti katil bagi menampung keperluan peningkatan jumlah penduduk serta menambah baik penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Pelan pembangunan jangka panjang ini telah diselaraskan di dalam Pelan Induk Fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Unjuran 20 Tahun (2023 – 2045).

    Untuk makluman, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan pihak KKM sentiasa cakna dengan keperluan untuk menyediakan fasiliti khusus bagi penyakit berjangkit. Sehubungan itu, permohonan Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Sungai Buloh (Pusat Kecemerlangan Penyakit Berjangkit) telah dikemukakan kepada pihak KKM di bawah RMK12 Rolling Plan 5. Pusat Kecemerlangan Penyakit Berjangkit ini akan menjadi fasiliti rujukan bagi seluruh negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.